TANAH MERAH – Aidilfitri kali ini membawa sinar kegembiraan buat seorang gadis sindrom down yang menghidap kanser darah apabila dia berpeluang menyambut hari raya di rumah bersama keluarga selepas melalui tempoh rawatan mencabar sejak tahun lalu.
Nurdini Tasnim Abdullah, 23, dari Kampung Batu Hitam Dalam di sini, disahkan menghidap leukemia B-ALL pada Mac tahun lalu selepas mengadu sakit perut ketika waktu sahur pada bulan Ramadan.
Ibunya, Mousriyanti Muhamad, 52, berkata, keadaan anak keduanya daripada lima beradik itu pada mulanya menimbulkan kebimbangan apabila mengadu tidak sihat sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah.
Menurutnya, pemeriksaan darah yang dijalankan kemudian mendapati keadaan Nurdini memerlukan rawatan lanjut sebelum dia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu untuk menjalani pemeriksaan sumsum tulang.
“Selepas pemeriksaan lanjut, doktor sahkan dia menghidap leukemia B-ALL dan perlu menjalani rawatan kemoterapi.
“Sepanjang tempoh rawatan itu dia sudah melalui lapan kali kemoterapi dan pernah tinggal selama 31 hari di hospital,” katanya kepada Sinar Harian.
Mousriyanti berkata, keadaan kesihatan anaknya kini menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani rawatan intensif sejak setahun lalu.
Katanya, doktor memaklumkan penyakit Nurdini menunjukkan pemulihan yang baik sekali gus memberi harapan kepada keluarga untuk menyambut Aidilfitri bersama di rumah tahun ini.
“Tahun lalu kami berpuasa dan melalui rawatan di hospital selain turut beraya di hospital.
“Tahun ini kami bersyukur kerana keadaannya semakin baik dan dapat beraya bersama keluarga di rumah,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh rawatan, Nurdini yang juga penghidap diabetes jenis satu sejak usia 11 tahun perlu melalui rutin suntikan insulin selain berdepan kekangan selera makan akibat rawatan kemoterapi.
Tambahnya, keadaan anaknya itu kadangkala lemah sehingga perlu dipimpin ke bilik air selain sering mengadu sakit dan lenguh kaki.
“Sebagai ibu memang saya tidak pernah meninggalkannya sepanjang rawatan. Saya sentiasa ada untuk menjaganya di hospital.
“Ayahnya pula menjaga keadaan di rumah dan membantu menguruskan anak-anak lain,” katanya.
Lebih menyentuh hati, keluarga itu juga turut menjaga seorang lagi anak istimewa iaitu adik bongsu Nurdini, Muhamad Qhaidir Rezky, 5, yang menghidap sindrom down serta mempunyai masalah buah pinggang dan hipertiroid.
Mousriyanti berkata, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran kesihatan dalam keluarga, mereka tetap bersyukur kerana masih diberikan kekuatan untuk menjaga anak-anak.
“Bagi kami, dapat berkumpul bersama keluarga pada Aidilfitri ini sudah cukup bermakna selepas apa yang dilalui sepanjang tahun lalu,” katanya.