KUANTAN – Tatkala takbir raya bergema di seluruh negara, suasana Aidilfitri di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom di sini tetap meriah meskipun penghuninya tidak dapat bersama keluarga.
Salah seorang penghuni mahu dikenali Yusof, 12, berkata, walaupun gembira menyambut lebaran bersama rakan, namun perkara yang paling dirinduinya adalah hidangan ibunya.
"Kalau boleh balik nanti, saya nak minta ibu masak ikan keli sambal merah.. sedap sangat sampai rasa nak (tambah) makan lagi, tetapi ibu selalu pesan kena ingat adik-beradik lain.
“Paling seronok dulu dapat beraya dengan ayah, ibu dan adik-beradik tapi sini tak ada (suasana itu),” katanya ketika ditemui di rumah kebajikan itu di sini baru-baru ini.
Seorang penghuni lagi mahu dikenali, Anis, 18, berkata, Aidilfitri di rumah kebajikan itu memberi pengalaman berbeza berbanding di kampung halaman.
Menurutnya, kemeriahan sambutan bersama rakan sebaya membolehkan mereka bergaul dan menikmati kegembiraan yang sukar diperoleh di tempat lain.
"Suasana seronok sangat sampai saya pernah terfikir tidak mahu raya dekat rumah, hendak raya kat sini saja sebab ramai-ramai.
"Pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah dapat keluar beraya ke istana Pahang dan sertai program besar di Dewan Jubli Perak bersama orang kenamaan pada hari raya pertama," kongsinya lagi.
Dia yang sudah menetap di situ sejak lapan tahun lalu memberitahu, rumah kebajikan itu turut membawa penghuni keluar untuk memilih dan membeli sendiri baju raya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
“Pengalaman ini sangat bermakna dan boleh dijadikan panduan apabila saya keluar nanti,” ujarnya yang merancang menyambung pengajian ke peringkat diploma atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selepas tamat tempoh perintah.
Bagi remaja 14 tahun yang mesra disapa dengan panggilan Siti berkata, Aidilfitri di rumah kebajikan itu memberikan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Dia yang menghuni disitu sejak bayi memaklumkan peluang bertemu pembesar negeri menjadi antara kenangan paling indah sepanjang menyambut lebaran.
Ujarnya, walaupun hanya mempunyai sepasang baju raya, dia tetap bersyukur dan menikmati suasana perayaan bersama rakan-rakan.
“Saya paling suka makan tat nanas ketika raya,” katanya.