MELAKA – Seorang bapa tunggal kini memberi perhatian penuh untuk menjaga anak lelakinya yang disahkan menghidap tumor rahang kanan dikesan setahun lalu, bermula daripada kesan kemerahan pada pipi kanan kanak-kanak itu.
Mohd Faizal Maarof, 40, berkata, pada mulanya keadaan anaknya, Muhammad Isaac Ayden Mohd Faizal, 11, tidak begitu membimbangkan, namun doktor gigi yang kebetulan datang ke sekolah mengesyorkan kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan lanjut.
“Pada awalnya kami nampak pipi dia merah sedikit. Kami ingat mungkin perkara biasa dan bercadang menunggu satu atau dua hari sebelum membawa ke hospital.
“Kebetulan masa itu ada doktor gigi datang ke sekolah dan selepas pemeriksaan, mereka menasihatkan supaya kami membawa dia ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Bekas editor majalah itu memaklumkan, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Melaka sebelum menjalani beberapa pemeriksaan termasuk imbasan CT dan MRI yang akhirnya mengesan ketumbuhan pada bahagian pipi berhampiran rahang.
“Selepas itu dia dirujuk ke Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut.
“Isaac menjalani empat kali rawatan kemoterapi dan menunjukkan perkembangan positif apabila ketumbuhan tersebut didapati semakin surut,” katanya.
Mohd Faizal berkata, anaknya juga menjalani imbasan PET di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, dan kini sedang menunggu keputusan lanjut daripada pihak doktor untuk langkah rawatan seterusnya.
Dalam pada itu, Mohd Faizal mengakui dia bersama ibunya yang mengusahakan karipap sejuk beku kini terpaksa menangguhkan perniagaan kecil-kecilan itu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan dan rawatan anaknya.
Katanya, kos rawatan kanser yang tinggi turut menjadi cabaran, namun bantuan daripada saudara-mara dan rakan-rakan sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi.
“Memang agak berat sebab sumber pendapatan terpaksa dihentikan sementara, tetapi kerana anak sakit, saya perlu fokus menjaga dia.
“Sebahagian bil rawatan diselesaikan menggunakan simpanan dan sumbangan orang sekeliling. Namun, ada juga yang masih tertangguh, dianggarkan RM20,000 dan kami memohon penangguhan daripada pihak hospital sementara mencari dana menjelaskan tunggakan,” katanya.
Tambahnya, keadaan kesihatan anaknya juga memerlukan pemantauan rapi kerana sistem imun yang rendah menyebabkan kanak-kanak itu mudah terdedah kepada jangkitan kuman.
“Kadang-kadang kalau keputusan darah tidak memuaskan, dia perlu ditahan di wad selama dua hingga tiga minggu. Jika dibenarkan pulang ke rumah, biasanya hanya dua atau tiga hari sebelum kembali ke hospital.
“Dalam sebulan, masa di hospital lebih lama berbanding masa di rumah.
“Sepanjang rawatan di Kuala Lumpur, saya akan menemani Isaac di hospital sepenuh masa dengan bantuan ibu yang akan menumpang di rumah saudara," ujarnya.
Terdahulu, keluarga itu dikunjungi Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) bagi menyalurkan bantuan serta sokongan diperlukan keluarga berkenaan.