BINJAI - Mayat seorang lelaki ditinggalkan di dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah hospital.
Kejadian itu berlaku di kawasan rumah sakit OG Hospital, Kelurahan Timbang Langkat, Kecamatan Binjai Timur, Kota Binjai di Sumatera pada Isnin lalu.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati mangsa dikenali sebagai Risyanto, 53, meninggal dunia akibat kecederaan fizikal yang dialaminya.
Dia dipercayai dipukul di lokasi lain sebelum dihantar ke rumah sakit dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh pelaku, NG, 41.
Kasi Humas Polres Binjai, AKP Junaidi berkata, keterangan beberapa saksi mendedahkan jasad mangsa dibawa tiga individu menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza.
"Mereka meminta petugas merawat Risyanto. Pemeriksaan doktor bagaimanapun mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan meminta mereka membawa pulang jasadnya.
"Tetapi, mereka tergamak meninggalkannya dalam kenderaan tersebut," jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Rumah Sakit Bhayangkara untuk proses autopsi.
"Tubuhnya penuh dengan kesan luka dan banyak kecederaan serius. Maklumat awal diperoleh kami mendapati Risyanto terlibat pergaduhan hingga meragut nyawanya," tambahnya lagi. - Agensi