Beli petrol dapat air, lelaki Thailand rugi hampir RM4,800

Iklan
Seorang lelaki kerugian hampir RM4,800 selepas membeli petrol tetapi menerima air di Thailand. Foto Facebook Amnat Thueansantier

PETCHABUN – Seorang lelaki memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli bahan api susulan menerima air selepas membuat bayaran sebanyak 40,000 baht (kira-kira RM4,772).

Menurut laporan portal Thaiger, kejadian itu dikongsikan menerusi Facebook miliknya pada Isnin, yang memaparkan video dia bersama pekerja mengeluarkan air daripada enjin penggerudi telaga.

Iklan
Iklan

Lelaki tersebut, Amnat Thueansantier berkata, kejadian berlaku ketika negara itu berdepan kekurangan bekalan bahan api.

Menurutnya, kakitangannya membeli petrol dari sebuah kedai kecil di daerah Bueng Samphan sebelum digunakan untuk mengisi enjin penggerudi telaga miliknya.

Iklan

"Selepas diisi, enjin tidak dapat dihidupkan dan menunjukkan masalah pada sistem bahan api.

"Pemeriksaan mendapati tangki tersebut sebenarnya berisi air, bukannya petrol,” katanya.

Iklan

Amnat yang menjalankan perniagaan mencari sumber air bawah tanah dan penggerudian telaga di daerah Nong Phai berkata, dia kemudian berdepan kesukaran mendapatkan bekalan petrol lain.

Bagaimanapun, katanya, enjin kembali berfungsi seperti biasa selepas diisi dengan petrol baharu.

"Nasib baik enjin tidak rosak akibat air terbabit," katanya.

Tambahnya, kakitangannya sebelum ini pernah membeli petrol di premis sama dengan nilai antara 50,000 hingga 60,000 baht (antara RM5,965 hingga RM7,158) tanpa sebarang masalah.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya memeriksa bahan api dengan teliti selepas pembelian, khususnya di stesen minyak kecil.

Dalam pada itu, Amnat berkata, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik premis berkenaan walaupun disarankan oleh orang ramai, sebaliknya menganggap kejadian tersebut sebagai nasib malang.