KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH) membantah cadangan prosedur penggantungan atau penamatan akses sistem di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang disifatkan berisiko menjejaskan keselamatan pengguna.
PKEH menerusi kenyataan memaklumkan, cadangan prosedur tersebut dilihat berpotensi melemahkan mekanisme keselamatan sedia ada dalam industri e-hailing negara.
"Ketika ini syarikat penyedia platform mempunyai keupayaan untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu termasuk menggantung akaun secara serta-merta berdasarkan aduan serius atau laporan polis.
"Tindakan pantas ini adalah kritikal bagi melindungi keselamatan penumpang dan memelihara kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, PKEH berkata, cadangan prosedur pentadbiran baharu yang dikatakan boleh mengambil masa sehingga 14 hari sebelum tindakan dilaksanakan menimbulkan kebimbangan serius.
Menurutnya, kelewatan tersebut akan melambatkan proses penguatkuasaan terhadap kes melibatkan risiko keselamatan.
"Situasi ini membuka ruang kepada kemungkinan berlakunya insiden tidak diingini serta menjejaskan keselamatan pengguna perkhidmatan e-hailing.
“Ia juga boleh melunturkan kepercayaan pengguna terhadap pemandu e-hailing,” katanya.
Dalam pada itu, PKEH turut membangkitkan isu kaedah pengiraan purata pendapatan harian pekerja gig.
"Cadangan supaya platform membuat pembayaran separuh pendapatan sepanjang tempoh penggantungan menimbulkan persoalan dari sudut prinsip operasi ekonomi gig.
"Perkara ini berpotensi mengubah struktur asas pekerjaan gig yang selama ini berteraskan fleksibiliti, prestasi kerja serta kebertanggungjawaban individu pekerja itu sendiri,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan cadangan tersebut juga berisiko menyebabkan peningkatan tambang yang akhirnya memberi kesan kepada permintaan perkhidmatan.
"Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengurangkan pendapatan pemandu e-hailing,” ujarnya.
Mengulas lanjut, PKEH berkata, kerajaan dan penggubal dasar perlu mengambil kira realiti operasi industri ketika ini yang menyaksikan sebahagian besar pemandu menggunakan pelbagai aplikasi secara serentak.
Katanya, amalan ‘multi-app’ itu penting bagi memastikan kelangsungan pendapatan pemandu.
"Sehubungan itu, sebarang mekanisme penggantungan yang ingin diperkenalkan perlu mengambil kira realiti operasi ini secara menyeluruh.
"Langkah ini penting bagi mengelakkan ketidakseimbangan pelaksanaan serta memastikan keselamatan pengguna dan kestabilan ekosistem industri e-hailing terus terpelihara,” katanya.