RAMADAN bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya bulan mengingatkan manusia tentang hakikat kehidupan serta kematian.
Ramai dalam kalangan kita dilanda rasa sayu, gusar dan sedikit hiba, bimbang andai ini Ramadan terakhir yang sempat kita harungi.
Bulan penuh rahmat ini juga sering menyingkap kisah 'pemergian' dicemburui bukan kerana manusia menginginkan kematian, tetapi berharap pengakhiran hidup berlaku dalam keadaan baik, husnul khatimah.
Sepanjang Ramadan kali ini, penulis berdepan dengan kisah tragis menggetarkan hati apabila seorang jemaah lelaki, Allahyarham Alias Abd Ghani, rebah secara tiba-tiba ketika menunaikan solat fardu berjemaah pada hari pertama Ramadan di Surau Jabal Nur, Taman Sri Gombak.
Ketika menunaikan solat Zuhur tatkala jemaah lain sedang rukuk, Allahyarham tiba-tiba jatuh lalu tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia.
Kisah kedua pula berlaku di Masjid Ahmadi, Rantau Panjang Klang, apabila Abu Bakar Ibrahim, 64, menghembuskan nafas terakhir, juga ketika menunaikan solat Zuhur pada 5 Mac lalu.
Kejadian jam 1.45 petang itu berlaku ketika rakaat kedua, sebelum disedari jemaah lain selepas solat selesai.
Dua kematian ini berlaku dalam bulan Ramadan, seakan menjadi peringatan kepada kita tentang hakikat hidup setiap insan tak kira muda, tua, kaya atau miskin pasti akan kembali kepada Pencipta.
Namun, Ramadan kali ini juga dicemari dengan beberapa peristiwa negatif dalam negara yang mengundang rasa hiba dan marah kita sebagai umat Islam.
Salah satunya ialah insiden seorang penuntut universiti didakwa memijak al-Quran sehingga dilihat mencemar kesucian kitab suci.
Tindakan biadab itu mendapat perhatian serius kerajaan dan pihak berkuasa yang menegaskan perkara sedemikian tidak boleh dibiarkan berulang.
Kes seperti itu menjadi pengajaran kepada kita untuk memanfaatkan bulan mulia ini bukan sekadar ritual ibadah, tetapi juga waktu untuk menjaga adab, akhlak dan kesucian nilai agama.
Di peringkat global pula, dunia dikejutkan dengan peningkatan konflik di Asia Barat melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel.
Ketegangan semakin memuncak itu bukan sahaja membimbangkan keselamatan rakyat di sana, malah turut memberi tekanan kepada kestabilan serantau dan pasaran minyak dunia.
Ironinya, apabila berlaku peperangan sudah tentu kita berdepan risiko antaranya kemungkinan berlaku peningkatan harga minyak dan bursa saham tergugat di seluruh dunia.
Pelbagai peristiwa dari kisah peribadi tragis hinggalah konflik global berlaku dalam bulan yang sepatutnya dipenuhi keberkatan dan keamanan.
Barangkali di situlah hikmah Ramadan. Di sebalik segala kegelisahan dunia, bulan mulia ini tetap mengingatkan manusia supaya kembali kepada nilai-nilai kemanusiaan, memperbanyakkan amal kebaikan dan memelihara kedamaian.
Ramadan mengajar kita masa tidak menunggu sesiapa dan setiap detik berlalu adalah peluang yang tidak akan kembali.
Selagi Ramadan masih berbaki, rebutlah setiap peluang untuk memperbaiki diri, lunakkan hati, dan dekatkan diri kepada yang Esa.
Justeru yang menentukan harga sebuah kehidupan bukanlah apa dimiliki di dunia, tetapi nilai iman dan amal dibawa ketika pulang menghadap Tuhan.
*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Wartawan Sinar Harian Selangor