Antara keperluan mendesak, amanah sumbangan asnaf

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

TINDAKAN segelintir penerima bantuan dalam kalangan asnaf yang didakwa menjual barangan sumbangan mencetuskan persoalan berkaitan integriti penerima bantuan serta keberkesanan sistem agihan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

Pendedahan oleh Persatuan India Muslim Perak (PRIM) bahawa terdapat dua keluarga menjual barangan makanan yang diterima kepada warga asing selepas menerima sumbangan tahun lalu jelas menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penyumbang dan pihak penganjur bantuan.

Iklan
Iklan

Secara asasnya, bantuan kepada asnaf diwujudkan bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan dapat meringankan beban hidup terutama ketika menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Ketika ramai keluarga berusaha menyediakan kelengkapan asas untuk menyambut hari raya, bantuan makanan dan barangan keperluan sepatutnya menjadi sokongan penting kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Iklan

Namun, apabila berlaku situasi yang mana bantuan tersebut dijual semula, ia bukan sahaja menjejaskan tujuan asal sumbangan malah boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap golongan asnaf secara keseluruhan.

Walaupun kes yang didedahkan melibatkan hanya sebilangan kecil penerima, implikasinya boleh memberi kesan kepada keyakinan masyarakat untuk terus menyumbang.

Iklan

Dalam konteks itu, cabaran utama bukan sekadar isu penyalahgunaan bantuan, tetapi juga berkait rapat dengan realiti kehidupan golongan miskin di bandar atau luar bandar yang mungkin berdepan keperluan kewangan lebih mendesak berbanding barangan yang diterima.

Ada kemungkinan penerima menjual barangan makanan untuk mendapatkan wang tunai bagi menampung kos lain seperti sewa rumah, bil utiliti atau perbelanjaan harian yang lebih mendesak.

Keadaan itu menunjukkan bahawa bantuan berbentuk barangan sahaja mungkin tidak sentiasa memenuhi keperluan sebenar penerima.

Justeru itu, pendekatan pemberian bantuan perlu dinilai semula agar lebih bersesuaian dengan situasi penerima termasuk kemungkinan menggunakan sistem bantuan tunai bersyarat atau pemantauan yang lebih tersusun.

Bagi organisasi kebajikan, isu berkenaan menjadi pengajaran penting tentang keperluan menambah baik mekanisme pemilihan dan pemantauan penerima bantuan.

Selain menilai tahap kelayakan, pendekatan pendidikan atau kesedaran mengenai tujuan bantuan juga perlu diterapkan supaya penerima memahami tanggungjawab moral terhadap sumbangan yang diterima.

Kes terpencil itu tidak seharusnya menutup hakikat bahawa majoriti golongan asnaf benar-benar memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Keprihatinan dan semangat memberi dalam kalangan masyarakat perlu terus dipupuk agar jaringan keselamatan sosial tidak terjejas.