MESYUARAT pertama Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) dilihat sebagai ujian awal kepada fasa baharu gabungan itu selepas beberapa bulan dilanda ketidakpastian kepimpinan dan perang persepsi.
Banyak pemerhati politik menunggu tindakan Dr Sam, seorang teknorat untuk menstabilkan PN yang dilihat berkocak sebelum ini.
Justeru, mesyuarat pertama di bawah Dr Sam bukan sekadar rutin organisasi, tetapi penentu awal sama ada PN benar-benar kembali berfungsi sebagai “pusat kawalan” yang tersusun menjelang PRU16 atau masih lagi berfantasi dengan memori lama yang belum menjaminkan kejayaan PRU akan datang.
Daripada riak wajah para pemimpin PN, ujian pertama ini boleh dianggap lulus pada ukuran paling asas: mesyuarat berlangsung dalam suasana tenang dan keputusan diterima tanpa drama terbuka.
Hal ini penting kerana sebelum ini terdapat atau spekulasi bahawa akan berlaku bantahan dari beberapa pihak yang tidak menerima perubahan tertentu.
Namun, apa yang berlaku menunjukkan satu perkembangan yang lebih matang: perbezaan dibincang dalam saluran dalaman dan apabila keputusan dimuktamadkan, semua komponen bergerak dengan disiplin yang sama.
Dalam suasana rakyat semakin letih dengan drama, kemampuan mengadakan mesyuarat yang tersusun dan menutup ruang polemik terbuka memberi nilai politik yang besar.
Harapan daripada ahli dan juga pengundi atas pagar terutamanya agar “ketenangan” ini bukan sekadar kosmetik untuk menutup “kecederaan lama” tetapi mereka berharap ia adalah satu isyarat bahawa PN sedang beralih daripada politik reaktif kepada politik institusi.
Selain itu, perkara kedua yang wajar diberi perhatian ialah langkah awal merombak struktur Majlis Tertinggi PN, khususnya apabila PN menambah tiga Timbalan Setiausaha Agung dan melibatkan wakil Gerakan serta MIPP, dua komponen yang mewakili segmen Cina dan India.
Dalam gabungan politik, pelantikan jawatan bukan sekadar pembahagian posisi; ia penetapan peranan, fungsi dan tanggungjawab.
Sebelum ini, keterlibatan parti-parti kecil sering tidak diberi perhatian serta dipinggirkan, malah ada tanggapan bahawa pengurusan harian gabungan tertumpu kepada beberapa tokoh tertentu sahaja.
Dengan pelantikan yang lebih inklusif pada lapis urus setia, PN mengirim mesej bahawa gabungan ini mahu memperluas pemilikan bersama, bukan hanya mengekalkan struktur yang sempit.
Lebih utama, langkah ini menguatkan naratif bahawa Pas apabila memimpin secara organisasi—mampu membentuk pendekatan yang lebih terbuka dan merentasi kaum, bukan sekadar bergerak dalam lingkungan “kubu sendiri”.
Hasil langsung daripada langkah ini ialah runtuhnya sebahagian tembok salah faham terhadap Pas dalam kerangka gabungan.
Selama ini, terdapat persepsi bahawa PAS sukar bekerjasama dalam struktur pelbagai kaum atau terlalu tertutup dalam pembahagian peranan.
Namun, apabila PN secara rasmi menempatkan Gerakan dan MIPP dalam struktur timbalan urus setia, ia memberi bukti bahawa Pas sebagai peneraju operasi (melalui pengerusi gabungan) bersedia memperkasakan peranan rakan komponen.
Dalam politik, bukti struktur lebih kuat daripada ucapan: ramai boleh menyebut “inklusif”, tetapi tidak ramai yang sanggup memindahkan kuasa dan peranan.
Walau bagaimanapun, di sini PN masih perlu sedar: pelantikan jawatan hanya akan bermakna jika disusuli pengagihan tugas yang jelas dan hasil yang dapat dirasakan—misalnya kenyataan media yang seragam, tindak balas isu nasional yang lebih cepat dan mekanisme penyelarasan pilihan raya yang lebih kemas.
Jika tidak, reformasi ini akan disifatkan sebagai simbol tanpa fungsi.
Perkara keempat yang menarik perhatian ialah ketiadaan Presiden Pas dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Walaupun secara sepintas lalu, ia boleh disalah tafsir sebagai masalah. Namun dari sudut institusi, ia juga boleh dibaca sebagai satu perkembangan baharu—pemisahan kuasa dan pemfokusan peranan dalam dua entiti berbeza.
Dalam banyak gabungan politik sebelum ini, pengerusi gabungan lazimnya datang daripada presiden parti, dan presiden parti pula “wajib” hadir dalam semua mesyuarat utama.
Situasi kali ini memberi gambaran bahawa PN sedang menguji model yang lebih berinstitusi: pengerusi gabungan memacu operasi dan menyatukan komponen, manakala presiden parti fokus kepada agenda parti dan peranan strategik tertentu.
Jika model ini konsisten, ia mengurangkan risiko gabungan bergantung pada satu figura semata-mata. Bagi rakyat, ini penting kerana negara tidak ditadbir oleh individu seorang, negara ditadbir oleh sistem dan institusi.
Justeru, kemampuan PN menjalankan mesyuarat dan membuat keputusan tanpa bergantung kepada simbol individu tertentu sebenarnya boleh meningkatkan persepsi kematangan gabungan.
Satu lagi isyarat penting datang melalui kenyataan media bahawa pelantikan pengerusi perhubungan PN negeri-negeri akan dibuat selepas lawatan kerja ke seluruh negeri.
Dari sudut politik akar umbi, ini mesej yang kuat: PN mahu membuat keputusan berdasarkan realiti medan, bukan sekadar rundingan elit.
Dalam gabungan yang kekuatannya sebahagian besar bertumpu kepada jentera bawah terutama Pas, pendekatan “turun dengar dan bawa balik” boleh memulihkan rasa memiliki dalam kalangan ahli serta penyokong.
Pada masa sama, ia mengurangkan persepsi bahawa semua keputusan dibuat sebagai hak prerogatif pengerusi semata-mata.
Walaupun pengerusi mempunyai kuasa tertentu, keputusan yang disandarkan kepada dapatan lapangan menunjukkan bahawa PN mahu memadukan autoriti dengan proses mendengar.
Namun, PN perlu berhati-hati: proses “mendengar akar umbi” mesti dipandu oleh prinsip yang jelas agar tidak menjadi alasan baharu untuk perebutan pengaruh di peringkat negeri.
Kriteria seperti keupayaan jentera, rekod kerja, kesesuaian setempat dan disiplin gabungan perlu diangkat sebagai asas pemilihan, bukan sentimen atau tekanan kem-kem tertentu.
Maka, adakah PN kini kembali ke landasan yang tepat? Jawapan paling adil ialah PN sedang kembali ke landasan, tetapi landasan itu masih memerlukan pengukuhan.
Mesyuarat pertama yang tenang, penerimaan keputusan oleh komponen, penstrukturan urus setia yang lebih inklusif serta isyarat pemisahan peranan semuanya merupakan petunjuk positif bahawa PN sedang berusaha menutup episod ketidakpastian yang lalu.
Namun, rakyat tidak menilai mesyuarat semata-mata.
Rakyat menilai hasil selepas mesyuarat. Jika selepas ini PN mampu menampilkan disiplin komunikasi yang lebih seragam, menyelesaikan konflik dalaman secara senyap tetapi tegas dan mengangkat agenda rakyat iaitu kos sara hidup, pendapatan, pekerjaan, pendidikan, integriti serta kecekapan pentadbiran, maka PN bukan sahaja kembali ke landasan, malah boleh kelihatan sebagai gabungan yang benar-benar bersedia mengemudi Malaysia.
Akhirnya, cabaran terbesar Dr Sam bukan sekadar mempengerusikan mesyuarat dengan baik.
Cabaran sebenar ialah menukar “ketenangan hari pertama” menjadi “keupayaan mentadbir sepanjang masa”: keputusan yang konsisten, mekanisme yang berfungsi dan hala tuju yang jelas.
Dalam politik hari ini, label tidak lagi memadai. Yang akan menentukan keyakinan rakyat ialah fungsi dan di situlah PN akan diuji dari sekarang hingga PRU16.
*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari dan pemehati politk semasa