AS tawar ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat mengenai pemimpin Iran

Iklan
Jabatan Negara AS pada Jumaat mengumumkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat yang membawa kepada pengenalpastian atau lokasi pemimpin utama Iran.

WASHINGTON - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengumumkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat yang membawa kepada pengenalpastian atau lokasi pemimpin utama Iran, termasuk Pemimpin Agung baharu negara itu Mojtaba Khamenei, lapor Anadolu Ajansi.

Pengumuman yang dikeluarkan menerusi program Rewards for Justice jabatan itu menyatakan bahawa individu yang disasarkan"memerintah dan mengarahkan pelbagai elemen dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang dituduh Washington merancang serta melaksanakan serangan di seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Antara individu yang disenaraikan dalam notis itu ialah Khamenei, Ali Asghar Hejazi, timbalan ketua turus di pejabat pemimpin agung; serta Yahya Rahim Safavi, penasihat kanan ketenteraan kepada pemimpin agung.

Terdahulu pada hari yang sama, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mendakwa pemimpin agung Iran yang baru dilantik itu"cedera” dan"berkemungkinan cacat” ketika AS dan Israel terus melancarkan serangan ke atas negara berkenaan.

Iklan

Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lepas, yang setakat ini mengorbankan kira-kira 1,300 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, mengakibatkan kemalangan jiwa serta kerosakan terhadap infrastruktur awam selain menjejaskan pasaran global dan sektor penerbangan. - Bernama/Anadolu

Iklan