KUALA TERENGGANU - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Razali Ismail dengan kerjasama Mahsuri Dagang Sdn Bhd menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 'For You Series' bagi menterjemahkan semangat ukhuwah dan nilai murni sempena Ramadan.
Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk disediakan melalui aktiviti gotong-royong yang diadakan di sekolah tersebut pada Rabu sebelum diagihkan kepada warga sekolah.
Program kolaborasi antara pihak sekolah dan Mahsuri Dagang Sdn Bhd itu menyaksikan penglibatan aktif warga pendidik serta kakitangan sokongan dalam menyediakan hidangan tradisi tersebut seawal jam 9 pagi.
Pengetua SMK Dato' Razali Ismail, Zaizamroh Yusof berkata, perancangan rapi telah dilakukan bersama pihak Mahsuri Dagang lebih awal sebelum kedatangan bulan suci ini bagi memastikan kelancaran program.
"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada Mahsuri Dagang kerana sudi bekerjasama melalui penajaan bahan mentah termasuk produk Mahsuri Sos Berperisa Tiram sebagai bahan perasa utama untuk menjayakan program ini.
"Aktiviti ini bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan, malah mengeratkan hubungan antara warga sekolah dalam usaha berkongsi rezeki," katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Ibrahim Muda.
Sementara itu, Mohd. Jazri berkata, 1,000 bekas bubur lambuk itu diagihkan kepada seluruh warga sekolah yang terdiri daripada 870 pelajar, 86 guru dan 20 kakitangan sokongan bermula jam 1 tengah hari.
"Sebagai syarikat tempatan, kami sentiasa menitikberatkan hubungan rapat dengan komuniti. Institusi seperti sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mencipta kegembiraan melalui aktiviti memasak bersama serta berkongsi juadah ini," ujarnya.