SEKINCHAN – Lebih sedekad berperanan mendidik generasi pencinta al-Quran, Madrasah Tahfiz Asy-Syakirin di Pasir Panjang giat merancang usaha menaik taraf kemudahan bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa.
Ditubuhkan pada 2015, institusi pendidikan al-Quran itu terus menjadi antara pusat pengajian tahfiz yang memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah dan hafazan al-Quran dalam kalangan pelajar.
Iklan
Iklan
Pengurus Pentadbiran Madrasah Tahfiz Asy-Syakirin, Muhammad Akhyar Shahrom berkata, sepanjang tempoh 11 tahun beroperasi, madrasah tersebut telah melahirkan lebih 60 pelajar hafazan al-Quran.
Menurutnya, pencapaian itu menjadi bukti komitmen pihak madrasah dalam memastikan pendidikan al-Quran memberi manfaat kepada masyarakat.
“Madrasah yang dibangunkan atas tanah wakaf ini sedang berusaha menyediakan suasana pembelajaran kondusif kepada pelajar supaya mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada hafazan dan pengajian agama,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Akhyar berkata, bagi memastikan keselesaan terus terjamin, pihaknya merancang beberapa kerja penambahbaikan melibatkan bangunan sedia ada termasuk ruang pembelajaran, tandas, asrama serta sistem saliran dengan kos keseluruhan yang diperlukan melebihi RM70,000.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Madrasah Tahfiz Asy-Syakirin 5621 2446 5983 atau menghubungi Muhammad Akhyar di talian 019-232 7107.