S.O.R.T bantu asing sisa, SMK Long Bedian juara Petrosains Tech4All

Iklan
SMK Long Bedian, Sarawak yang mencipta Smart Object Recycling Technology (S.O.R.T.) dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Peringkat Kebangsaan Petrosains Tech4All 2026.

SHAH ALAM – Pelajar SMK Long Bedian, Sarawak yang mencipta Smart Object Recycling Technology (S.O.R.T.) dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Peringkat Kebangsaan Petrosains Tech4All 2026.

Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), ciptaan tersebut mampu mengenal pasti dan mengasingkan sisa seperti tin, plastik serta kertas sebelum tong sampah yang sesuai dibuka secara automatik.

Iklan
Iklan

Murid SMK Long Bedian, Agustus Antonio Galvin, 12, berkata, idea menghasilkan S.O.R.T. tercetus daripada keinginan membantu pekerja pembersihan di sekolah bagi memudahkan proses pengasingan sampah.

Menurutnya, penyertaan dalam Petrosains Tech4All turut memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan mempelajari perkara baharu serta menambah baik projek berkenaan.

Iklan

“Pada masa yang sama, kami berharap projek ini dapat membantu pelajar lebih memahami kepentingan menjaga alam sekitar. Ini kali pertama kami menyertai Petrosains Tech4All, jadi kami sangat gembira dan bangga apabila berjaya menjadi juara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam masa sama, Guru pembimbing, Hanson Teo Kim Guan, 28, berkata, kejayaan itu amat bermakna kerana ia merupakan penyertaan pertama SMK Long Bedian dalam pertandingan berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, S.O.R.T. menggabungkan pengekodan Arduino dan AI serta penggunaan kamera untuk mengenal pasti sisa sebelum tong yang bersesuaian dibuka secara automatik.

“Lebih daripada kemenangan ini, saya bangga melihat bagaimana pelajar dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari untuk menghasilkan penyelesaian praktikal kepada masalah sebenar di sekeliling mereka,” katanya.

Selain SMK Long Bedian yang menerima hadiah wang tunai RM3,500, sijil dan barangan eksklusif Petrosains, SK Punan, Johor muncul naib juara, manakala SK Telanok, Pahang di tempat ketiga.

Tempat keempat dan kelima dimenangi SK Runchang, Pahang serta SK Padang, Sabah yang menerima RM1,000, sijil turut membawa pulang barangan eksklusif Petrosains.

Peserta dari sekolah berbeza yang memenangi Pertandingan Peringkat Kebangsaan Petrosains Tech4All 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad menjelaskan, pendekatan memperkasa guru penting bagi memastikan manfaat program dapat dikembangkan kepada lebih ramai murid Orang Asli dan Peribumi, bukan hanya ketika pertandingan.

Menurutnya, Petrosains Tech4All yang memasuki tahun ketiga penganjuran turut memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan guru menerusi Petrosains Tech4All Teachers’ Bootcamp yang berlangsung pada 10 hingga 12 Julai lalu di Kuala Lumpur.

“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak diberi peluang untuk belajar, mencipta dan berinovasi tanpa mengira latar belakang. Dengan memberikan guru pengetahuan, kemahiran dan keyakinan, kami membina model impak yang mampu menjangkaui satu program atau pertandingan,” katanya.