KAJANG - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melaksanakan kerja-kerja pemasangan kanvas di kawasan runtuhan tembok penahan tanah di Jalan Nilam, di sini pada Selasa.
Kerja-kerja pemasangan kanvas itu dibuat sebagai langkah jangka pendek bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sekiranya hujan lebat berlaku.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, kakitangan MPKj memulakan kerja-kerja pembersihan tanah serta pemasangan kanvas sejak jam 9.30 pagi tadi.
Seorang saksi kejadian, Azhar Kasmani berkata, pihak pengurusan sebuah kuil yang juga pemillik tanah telah membina tembok itu sejak dua bulan lalu.
"Manakala pagar pula telah dipasang sejak dua minggu lalu. Bagaimanapun, struktur tembok itu runtuh ketika hujan lebat semalam (Isnin)," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Azhar berkata, kejadian itu telah menyebabkan tiga kereta dan tiga motosikal mengalami kerosakan akibat dihempap runtuhan tanah.
"Dua kereta iaitu Proton Satria dan Proton Wira dan tiga motosikal adalah milik pemilik bengkel berhampiran manakala sebuah lagi kereta Proton Saga adalah milik kakitangan kami (syarikat kawalan keselamatan)," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong yang ditemui ketika meninjau lokasi kejadian berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut dan masih menunggu laporan penuh siasatan oleh pihak MPKj.
"Sebarang keputusan mengenai tindakan susulan akan diputuskan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi sehingga kajian dan siasatan mengenai punca kejadian selesai dijalankan," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian runtuhan dipercayai berlaku apabila tembok penahan tanah gagal menahan pergerakan tanah susulan hujan lebat di lokasi itu sejak jam 3 petang Isnin.
Katanya, runtuhan tanah telah menghempap kenderaan yang diletakkan berhampiran tembok namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.