MENGHAMPIRI penghujung Ramadan, suasana malam di kebanyakan masjid dan surau semakin suram dan kehadiran umat Islam juga semakin berkurang.
Bagaimanapun di sana, ALLAH SWT menjanjikan suatu yang sangat besar buat mereka yang mampu bertahan dan melaksanakan ibadah sehingga ke akhir Ramadan, terutamanya pada satu malam yang begitu dicari-cari setiap umat Islam yang taat iaitu Lailatulqadar.
Berbincang mengenai Lailatulqadar ini, Guru Bidang Bahasa & Pengajian Islam, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, Perak, Ustaz Kamarul Azuan Shah Mohd Mashuti menjelaskan, Lailatulqadar bukan sekadar malam yang dinanti-nantikan umat Islam, tetapi ia dicari dengan usaha dan penuh kerinduan.
“Berdasarkan kepada surah al-Qadr, ALLAH SWT menyatakan bahawa Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
“Tetapi keindahan Lailatulqadar bukan hanya pada ganjaran pahala ketika langit sedang terbuka, namun pada masa yang sama hati manusia itu sedang diuji,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.
Malam yang dirahsiakan
Menurutnya, Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan tarikh khusus untuk Lailatulqadar kerana Baginda mahu mengajar umatnya agar bersungguh-sungguh mencarinya pada 10 malam terakhir Ramadan, khususnya pada malam-malam ganjil sebagaimana sabda Baginda.
“Sepintas lalu, ramai mungkin bertanya mengapa ALLAH SWT tidak menjadikan malam itu jelas dan pasti? Bukankah lebih mudah jika manusia tahu dengan tepat bila ia berlaku?
Bagaimanapun katanya, apabila ia dirahsiakan, manusia dipanggil untuk berharap, mencuba dan terus mengetuk pintu langit tanpa henti.
“Rahsia ini sebenarnya mendidik jiwa. Islam tidak mendidik manusia menjadi hamba yang rajin secara bermusim, tetapi hamba yang konsisten dalam mencari reda Tuhannya," katanya.
Ketika hati diuji
Oleh sebab itu ujarnya, dalam perjalanan spiritual, ALLAH SWT mengajar hamba-NYA nilai sebenar bukan pada kepastian tetapi pada kesungguhan mencari, sama seperti rahsia kematian seseorang agar dia sentiasa bersedia.
“Namun hakikatnya, Lailatulqadar bukan sekadar malam yang dicari, tetapi perjalanan jiwa untuk pulang kepada fitrah yang lama dirindui.
“Ada rasa bersalah yang lama dipendam. Ada doa yang sudah lama tidak diungkapkan. Ada rindu kepada Tuhan yang tiba-tiba terasa begitu dekat,” katanya.
Di sinilah ujian sebenar berlaku bukan pada badan yang letih berdiri, tetapi pada hati yang diuji keikhlasannya, sambungnya lagi.
“Lailatulqadar mengajar manusia bahawa yang paling penting bukanlah: ‘Adakah aku menemuinya?’, tetapi ‘Adakah aku benar-benar mencari?’
Sambungnya, di situlah keindahannya apabila manusia tidak pasti, dia akan terus mengetuk pintu Tuhan, apabila manusia tidak tahu malam mana yang sebenarnya, dia akan cuba menghidupkan semuanya.
“Apabila manusia tidak yakin amalnya diterima, dia akan terus merendah diri. Akhirnya kita sedar, Lailatulqadar bukan sekadar malam yang dirahsiakan tetapi medan yang mendedahkan keadaan hati manusia.
“Sesungguhnya yang sebenarnya diuji bukan malam itu, tetapi sejauh mana kita sanggup berubah ketika mencarinya,” ujarnya lagi.
Ujian hati yang sebenar
Menurut beliau, pelbagai ragam manusia dapat dilihat ketika berusaha mendapatkan Lailatulqadar.
“Maka di sinilah ujian hati berlaku. Lailatulqadar bukan sekadar pengalaman emosi satu malam tetapi titik perubahan yang berpanjangan.
“Tanda seseorang benar-benar mendapat bahagiannya daripada malam itu ialah perubahan selepasnya iaitu lebih sabar, lembut, jujur dan lebih takut kepada ALLAH SWT kerana hakikatnya langit boleh terbuka tetapi jika hati tetap tertutup, kita mungkin pulang dengan tangan kosong,” katanya.