Boleh kaya tapi jangan langgar garis syarak – MAINS

Iklan
ISLAM tidak melarang umatnya menjadi kaya, bahkan menggalakkannya.

ISLAM tidak pernah melarang umatnya berusaha mencari kekayaan, memiliki harta dan menikmati kehidupan yang baik, malah kekayaan boleh menjadi jalan untuk seseorang memperbanyakkan amal kebajikan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ustaz Syammil Izuddin Mohamed Yusoff menjelaskan, mencari rezeki melalui usaha sendiri merupakan sesuatu yang dipandang baik dalam Islam berbanding meminta-minta daripada manusia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, malah Islam juga tidak mengajar umatnya supaya meninggalkan urusan dunia semata-mata untuk beribadah.

“Agama bukan suruh kita ‘melepek’ di masjid dan menggentel tasbih sepanjang masa. Banyak ibadah dalam Islam memerlukan sumber harta seperti zakat, wakaf dan ibadah haji.

Iklan

Beliau menjelaskan, garis pemisah yang jelas dalam soal harta ialah larangan mengambil atau memakan harta orang lain secara batil atau salah sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-188 surah al-Baqarah.

“Jadi apabila mencari rezeki, jangan ada unsur riba, penipuan, manipulasi, perjudian, pemalsuan dokumen, tuntutan palsu atau rasuah dan seumpamanya,” hurainya.

Iklan

USTAZ SYAMMIL IZUDDIN

Menurutnya, harta itu sendiri bukanlah suatu benda yang jahat kerana ia bergantung kepada tangan siapa yang menggunakannya.

“Harta umpama pisau. Kalau berada di tangan orang jahat, kesannya boleh menjadi jahat. Tetapi kalau berada di tangan orang baik, ia boleh mendatangkan manfaat.

Terlanjur ambil harta batil

Dalam pada itu, Ustaz Syammil Izuddin berkata, individu yang pernah memperoleh harta melalui jalan haram tidak boleh berputus asa, sebaliknya perlu segera bertaubat dan membersihkan hartanya.

“Dalam kisah Fudail bin Iyad sebelum dia menjadi ulama besar, dia sedar apa yang dilakukan iaitu merompak dan menyamun itu salah. Dia kemudian mencari orang yang pernah dizaliminya untuk mengembalikan hak mereka.

USTAZ Syammil Izuddin (kanan) ketika membincangkan mengenai Harta Batil dalam Podcast POV Sinar Islam Plus.

“Dia juga meninggalkan kelompok atau kawan yang boleh menyebabkan dirinya kembali kepada kehidupan lama,” katanya.

Kisah itu memberi pengajaran bahawa taubat daripada harta haram bukan sekadar berhenti melakukan perbuatan tersebut, tetapi berusaha mengembalikan hak itu kepada yang berhak.

“Kalau pekerjaan atau sumber pendapatan itu jelas haram, tinggalkan walaupun ia memberikan keuntungan yang lumayan,” katanya.

Menurutnya, umat Islam juga perlu melakukan audit terhadap sumber pendapatan dan cara harta dibelanjakan.

“Antara soalan yang perlu kita tanya, dari mana harta ini diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan?

“Setiap transaksi tanya diri sendiri, adakah perkara ini dibenarkan agama atau dilarang? Adakah ia harus atau haram? Jika syubhah pula, maka berhati-hatilah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya masyarakat tidak mudah terpedaya dengan skim atau bentuk pelaburan yang meragukan hanya kerana menjanjikan keuntungan tinggi, namun ternyata menyalahi syarak.

Belanja, wariskan harta dengan betul

Ustaz Syammil Izuddin berkata, selepas memperoleh harta secara halal, seseorang perlu memastikan ia turut digunakan pada tempat yang dibenarkan syarak.

“Kalau membeli barang kemas, kita perlu tahu kaedah yang patuh syariah. Kalau mahu mendapatkan perlindungan insurans, pilih produk yang patuh syariah seperti takaful.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya memikirkan pengurusan harta selepas kematiannya, termasuk meninggalkan pesanan yang jelas kepada waris.

“Jangan sampai kita meninggal dunia dan waris tidak tahu bagaimana harta hendak diuruskan.

“Pesan kepada waris lebih awal supaya harta diurus, dibelanja dan dibahagikan mengikut landasan syarak,” jelasnya.

LAKUKAN audit harta agar aspek halal, haram dan syubhah benar-benar dapat dijaga.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya seseorang tidak bertindak sehingga menghabiskan seluruh hartanya atas nama sedekah sehingga mengabaikan keperluan diri dan keluarga.

“Islam tidak suruh kita sedekahkan semua harta sehingga keluarga tidak ada apa-apa. Ada hak diri, ada hak keluarga dan ada hak orang lain.

“Semuanya perlu diletakkan pada tempat yang betul,” ujarnya.