GOPENG - Kerajaan dicadang menilai semula dasar berkaitan harga bahan api bagi sektor pertanian serta mempertimbangkan mekanisme lebih sesuai bagi mengurangkan beban kos pengeluaran yang ditanggung petani.
Perkara itu disuarakan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia (PPSM) berhubung penyelarasan harga diesel dan petrol susulan konflik Asia Barat yang dijangka meningkatkan tekanan kos bahan api dalam pelbagai operasi di ladang.
Setiausahanya, Tan Chee Kiong berkata, berdasarkan pengumuman kerajaan, harga diesel diselaraskan kepada RM3.92 seliter manakala harga petrol pula kepada RM3.27 seliter.
Menurutnya, pelarasan harga tersebut dijangka memberi kesan langsung kepada aktiviti pertanian kerana penggunaan bahan api merupakan keperluan asas dalam proses pengeluaran hasil tanaman.
"Dalam sektor penanaman sayur-sayuran, banyak operasi di ladang bergantung kepada penggunaan diesel dan petrol seperti pam air untuk pengairan, kerja membajak menggunakan traktor kecil serta pengangkutan dalam kawasan ladang.
"Apabila harga bahan api meningkat secara serentak, kos pengeluaran pertanian juga akan meningkat secara keseluruhan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi PPSM, Lim Ser Kwee.
Chee Kiong berkata, situasi tersebut lebih membimbangkan kerana sektor pertanian tidak menikmati subsidi bahan api menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kesan kenaikan kos operasi.
Selain itu katanya, keadaan pasaran sayur-sayuran tempatan yang masih lembap sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menambah tekanan kepada pengusaha tanaman.
"Ramai penanam sayur daun hampir tidak memperoleh keuntungan sepanjang tahun 2023 dan 2024, malah sebahagian daripada mereka mengalami kerugian berpanjangan.
"Prospek pasaran bagi tahun 2025 juga masih tidak menentu. Dalam keadaan kos pengeluaran meningkat tetapi harga sayur-sayuran sukar diselaraskan, lebih ramai petani mungkin terpaksa mengurangkan kawasan tanaman atau meninggalkan sektor pertanian," katanya.