KUALA LUMPUR – Novo Nordisk menyeru masyarakat memperkasakan suara wanita, menggunakan bahasa yang tidak mencetuskan stigma serta menggalakkan pendekatan pencegahan dan penjagaan obesiti yang lebih inklusif.
Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Dr Praful Chakkarwar berkata, wanita yang hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti di Malaysia sering menghadapi cabaran kesihatan dan stigma sosial.
Menurutnya, naratif negatif yang mengaitkan berat badan dengan kegagalan peribadi boleh melambatkan proses diagnosis serta mengehadkan akses kepada rawatan yang bersesuaian.
"Keadaan itu juga menyumbang kepada stigma dalam persekitaran penjagaan kesihatan, tempat kerja dan kehidupan seharian.
“Di Novo Nordisk, kami komited untuk menyokong usaha yang mempertingkatkan pemahaman masyarakat, mengurangkan stigma serta memperkukuh penjagaan obesiti yang bertanggungjawab dan berasaskan bukti di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, bersempena dengan Hari Obesiti Sedunia dan Hari Wanita Antarabangsa, Novo Nordisk Pharma (Malaysia) telah menghimpunkan suara warga profesional penjagaan kesihatan, pemimpin korporat serta individu yang hidup dengan obesiti bagi mentakrifkan semula cara negara memahami dan menangani penyakit kronik ini.
Menurut kenyataan itu, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan lebih separuh daripada dua orang dewasa di Malaysia kini hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti.
Malaysia juga antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus memberi kesan kepada institusi keluarga, sistem penjagaan kesihatan serta produktiviti jangka panjang negara.
Novo Nordisk kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan strategik merentas pelbagai sektor bagi memajukan kesaksamaan kesihatan, memperkukuh kesedaran komuniti, serta membina masa depan yang membolehkan wanita dan seluruh rakyat Malaysia meraih hasil kesihatan yang lebih baik tanpa sebarang stigma.
Sementara itu, Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS) dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Profesor Dr Rohana Abdul Ghani berkata, obesiti kini diiktiraf sebagai penyakit kronik dan progresif yang dipengaruhi faktor biologi, sosial serta persekitaran.
Menurutnya, kajian menunjukkan kira-kira 45 peratus individu yang hidup dengan berat badan berlebihan terus berdepan cabaran berkaitan berat badan secara berterusan.
“Malah hampir separuh daripada mereka merasakan diri dikawal oleh keadaan berat badan mereka dan 57 peratus kembali kepada tabiat pemakanan terdahulu walaupun telah berusaha secara konsisten untuk mengekalkan perubahan tersebut.
“Ini menunjukkan obesiti bukan kegagalan dari segi keazaman atau disiplin diri, sebaliknya memerlukan pendekatan penjagaan secara kolektif serta persekitaran yang menyokong,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Penjenamaan, Pemasaran dan Kemampanan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Shireen Kandiah berkata, sokongan terhadap kesihatan wanita termasuk pengurusan berat badan perlu dilihat sebagai keputusan kepimpinan yang penting di tempat kerja.
Ujarnya, pelaksanaan dasar yang menyokong kesejahteraan pekerja seperti fleksibiliti masa untuk menghadiri janji temu kesihatan dan pendidikan kesihatan yang tepat dapat membantu wanita mengekalkan gaya hidup sihat.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan IHH Healthcare, Sharon Foo pula berkata, pelaburan dalam infrastruktur dan sokongan kesihatan wanita mampu memberi kesan positif yang meluas kepada keluarga, tempat kerja dan komuniti.
Sementara itu, cef selebriti dan aktivis kesihatan, Ili Sulaiman berkata, pengurusan berat badan bukan sekadar keputusan peribadi tetapi satu perjalanan emosi yang memerlukan sokongan daripada keluarga, rakan serta profesional kesihatan.