Vietnam galakkan bekerja dari rumah akibat krisis bahan api

Iklan
Penunggang motosikal beratur bagi mengisi minyak di stesen Hanoi. Foto Agensi

HANOI - Kementerian Perdagangan Vietnam menasihatkan syarikat tempatan supaya membenarkan pekerja bekerja dari rumah bagi menjimatkan penggunaan bahan api, susulan kenaikan harga yang ketara dan gangguan bekalan akibat perang di Iran.

Menurut laporan Reuters, Vietnam antara negara paling terkesan oleh gangguan bekalan bahan api sejak perang AS-Israel terhadap Iran bermula, kerana negara ini bergantung tinggi kepada import tenaga dari Asia Barat.

Iklan
Iklan

“Syarikat perniagaan perlu menggalakkan pekerja bekerja dari rumah bagi mengurangkan keperluan perjalanan dan pengangkutan," menurut kenyataan kementerian.

Sejak akhir bulan lalu, harga petrol di Vietnam meningkat 32 peratus, diesel naik 56 peratus dan minyak tanah melonjak 80 peratus, menurut data daripada syarikat perdagangan bahan api terkemuka, Petrolimex.

Iklan

Keadaan ini menyaksikan barisan panjang kenderaan di stesen-stesen minyak di Hanoi pada Selasa.

Selain itu, kerajaan menasihatkan perniagaan dan individu agar tidak membuat spekulasi terhadap isu bahan api.

Iklan

Perdana Menteri Pham Minh Minh juga telah menghubungi rakan sejawatannya di Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu bagi memastikan bekalan bahan api dan minyak mentah mencukupi di negaranya.

Sebagai langkah segera, Vietnam memutuskan untuk menangguhkan tarif import bahan api sehingga akhir April bagi meringankan tekanan bekalan dan harga.

Tindakan ini dijangka dapat membantu mengurangkan kesan ekonomi terhadap rakyat dan sektor perniagaan negara, sementara menunggu penyelesaian konflik yang masih berlarutan di Asia Barat.-Agensi