ANKARA - Presiden Iran Masoud Pezeshkian, berikrar pada Ahad untuk bertindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang dilancarkan dari mana-mana negara, sambil menekankan bahawa negara beliau menganggap jiran-jirannya sebagai"saudara,” lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan yang disiarkan oleh Press TV milik kerajaan semasa lawatan ke sebuah pusat kesihatan, Pezeshkian berkata kenyataannya pada Sabtu yang beliau memohon maaf atas serangan terhadap negara jiran"telah disalah tafsir.”
"Kita berdiri teguh menentang dan bertindak balas dengan kuat terhadap mereka yang menyerang negara kita. Sudah tentu, angkatan tentera kita dan pasukan sukarelawan Basij, yang hadir di seluruh negara, akan mempertahankan negara dengan sekuat tenaga.
"Iran tidak akan tunduk kepada pembulian, penindasan dan pencerobohan,” kata Pezeshkian.
Presiden Iran itu menyeru Iran dan jirannya"untuk menyelesaikan perbezaan mereka secara dalaman dan menentang usaha musuh untuk menarik mereka ke dalam perang serta menabur perselisihan dalam kalangan mereka.”
Lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei dan pegawai tentera kanan, telah terkorban dalam serangan AS-Israel terhadap Iran sejak 28 Feb.
Tehran membalas dengan melancarkan serangan dron dan misil yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. - Bernama