Konflik Asia Barat: AS sedia kerah kapal pengangkut pesawat ketiga

Iklan
Pengangkut pesawat berkenaan membawa berpuluh-puluh pesawat serangan dan akan diiringi pemusnah peluru berpandu. Foto hiasan

ANKARA - Amerika Syarikat (AS) sedang bersedia untuk mengerahkan kapal pengangkut pesawat ketiga ke Timur Tengah untuk serangan ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi, memetik laporan media pada Jumaat.

Kapal pengangkut pesawat Tentera Laut US, USS George H.W. Bush itu, telah melengkapkan persiapan untuk berlepas ke timur Mediterranean, menurut Fox News.

Iklan
Iklan

Kapal itu, yang telah melengkapkan persiapannya di luar pantai Pulau Hatteras, Carolina Utara, dijangka berlepas tidak lama lagi.

Pengangkut pesawat berkenaan membawa berpuluh-puluh pesawat serangan dan akan diiringi pemusnah peluru berpandu.

Iklan

USS Gerald R Ford kini beroperasi di Laut Merah manakala kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln (CVN-72) beroperasi di Teluk Oman.

Ketegangan di Timur Tengah kian memuncak sejak hujung minggu lepas apabila AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran, membunuh lebih 1,000 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei, lebih 150 pelajar sekolah dan pegawai kanan tentera.

Iklan

Iran bertindak balas dengan serangan bertubi-tubi yang menyasarkan pangkalan AS, kemudahan diplomatik dan anggota tentera di seluruh rantau ini, serta beberapa bandar Israel. - Bernama-Anadolu