IPOH – Pemandu tiga buah kereta berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka dihempap dua batang pokok yang tumbang dalam kejadian di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.43 petang.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bersama lima anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
"Jentera tiba di tempat kejadian pada jam 4.47 petang iaitu kira-kira tiga kilometer dari balai.
"Kejadian melibatkan dua batang pokok tumbang yang menghempap tiga buah kereta iaitu Proton Saga, Proton Persona dan Volkswagen,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sabarodzi berkata, enam mangsa yang terlibat dalam kejadian itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
Menurutnya, mereka yang terdiri daripada empat orang menaiki Proton Persona dan masing-masing satu memandu Proton Saga dan Volkswagen dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Jelasnya, operasi pemotongan serta pembersihan pokok yang tumbang sedang dijalankan oleh anggota bomba bagi memastikan kawasan tersebut selamat.
Sabarodzi berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 5.15 petang dan kerja-kerja pemotongan pokok masih diteruskan.