Pergolakan Asia Barat: Polis tingkat rondaan, kawal ketat sasaran penting negara

Iklan
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan rondaan serta penugasan keselamatan di sempadan dan sasaran-sasaran penting dalam negara susulan pergolakan yang berlaku di Asia Barat.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, beliau telah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri dan Pengarah jabatannya ekoran perkembangan geopolitik terkini yang sedang melanda Iran.

Iklan
Iklan

"Peningkatan penugasan keselamatan itu juga melibatkan pemantauan rapi ke atas kepentingan-kepentingan serta aset milik Amerika Syarikat dan Eropah di negara ini serta rumah ibadat yang dikhuatiri mungkin menjadi sasaran pihak-pihak tertentu," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Mohd Khalid berkata, pihaknya sentiasa mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti perkembangan tersebut.

Iklan

"Untuk semua sedia maklum, di negara kita ini ada lebih kurang 2,500 orang warga Iran yang menetap di sini dan kita sentiasa memantau kesemua mereka bagi memastikan keselamatan kita adalah dalam keadaan yang baik dan terkawal," katanya.

Beliau berkata, pemantauan dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan secara berterusan itu adalah komitmen PDRM dalam menjamin ketenteraman awam dan memastikan negara bebas daripada sebarang ancaman luar yang tidak diingini.

Iklan

Ketegangan global susulan konflik yang semakin meruncing melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran semakin mendalam apabila operasi ketenteraan dipergiat, ketegangan diplomatik meluas serta kebimbangan kemanusiaan meningkat di beberapa rantau.