BUAT julung kali, dua restoran iaitu Farmer Village dan Gajah Tiga bekerjasama mempersembahkan hidangan bufet Ramadan bertemakan Sajian Imbauan Desa yang menampilkan lebih 70 menu warisan Melayu istimewa.
Antara hidangan yang disediakan termasuklah menu utama yang popular dengan Gajah Tiga iaitu rendang tok, ayam masak lemak cili api, gulai daging kawah, sate ayam dan daging, tempoyak pucuk ubi, kambing golek dan cucur udang.
Selain itu, bufet berbuka puasa itu juga turut menyediakan menu sampingan seperti gado-gado, pelbagai aneka kerabu seperti kerabu pegaga, kerabu ikan bilis dan lain-lain lagi selain 20 aneka kuih tradisional pencuci mulut seperti pengat pisang, bubur pulut hitam, cucur jawa dan roti jala.
Pengasas Farmer Village, Datuk Peter Ng berkata, kerjasama pihaknya dengan Gajah Tiga itu memberikan pelbagai variasi pilihan buat pengunjung dan pelanggan kedua-dua restoran.
“Ini merupakan kali pertama Farmer Village menganjurkan bufet Ramadan yang berkonsepkan Suasana Bazar Ramadan bagi menggamit memori dan kemeriahan bulan puasa.
Sementara itu, Pengarah Syarikat Gajah Tiga, Nazri Hendra berkata, beliau berharap kerjasama itu dapat menaikkan lagi nama kedua-dua restoran itu.
“Gajah Tiga Cafe di bawah naungan Gajah3 Foods Sdn Bhd bermula dengan kumpulan kecil yang mempunyai semangat dan minat dalam memartabatkan masakan tradisional Melayu.
“Kami turut memberikan nafas baharu terhadap menu masakan ini melalui penyelidikan sendiri,” katanya.
Bufet Ramadan Sajian Imbauan Desa boleh dinikmati dengan harga bermula RM78 hingga RM128.