TEHERAN - Iran telah mengerahkan senjata baharunya, Hadid-110 ketika peperangan bermula pada akhir minggu lalu.
Ia merupakan versi lebih canggih berbanding dron Shahed-136 yang menjadi kebimbangan Amerika Syarikat (AS).
Hadid-110 dilengkapi dengan enjin turbojet dan mampu mencapai kelajuan 510 kilometer sejam (km/j) dan mempunyai kadar kejayaan lebih tinggi untuk mengenai sasaran kerana sukar dikesan radar.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menggunakan dron tersebut buat pertama kali ketika serangan ke atas pangkalan tentera AS di negara Teluk.
Dron tersebut mempunyai reka bentuk sayap segi tiga (delta wing) dan menjadi antara dron terpantas dalam inventori Iran.
Penganalisis ketenteraan menekankan bahawa Hadid-110 dibangunkan khusus untuk mengatasi sistem pertahanan udara.
Dron Hadid-110 bagaimanapun hanya boleh berada di ruang udara selama kira-kira satu jam, menjadikannya direka untuk misi pantas dan taktikal dan bukannya serangan jarak jauh.
Hadid-110 pertama kali diperkenalkan pada 12 Februari 2025 dan telah diuji semasa latihan ketenteraan bersama melibatkan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO). - Agensi