Masih terlalu awal kata Bazar Aidilfitri tiada sambutan

Iklan
Keadaan bazar Aidilfitri Klebang pada malam Selasa. Gambar kecil: Rais

MELAKA - Masih terlalu awal mengatakan Bazar Aidilfitri tidak mendapat sambutan kerana biasanya bazar itu diserbu orang ramai menjelang akhir Ramadan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di negeri ini tidak berdepan sebarang masalah besar seperti yang didakwa segelintir pihak.

Iklan
Iklan

“Kalau ada yang mengadu perniagaan perlahan dan sebagainya, kita akan terus promosikan lagi serta bantu masyarakat kita, khususnya peniaga bumiputera berniaga.

“Media juga perlu memainkan peranan untuk membantu mempromosikan bazar ini, bukan sahaja melalui media sosial malah media arus perdana juga boleh membantu. Saya mahu lihat lebih banyak peranan dimainkan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan situasi bazar Aidilfitri yang dikatakan hambar di beberapa kawasan.

Tambah Rais, trend pembelian lazimnya meningkat pada minggu ketiga dan keempat Ramadan.

Iklan

“Memang kadang-kadang kita tengok di media sosial ada peniaga yang tutup awal dan sebagainya, tetapi di Melaka setakat ini alhamdulillah.

“Saya sendiri sudah turun padang ke Klebang dan peniaga memaklumkan ini situasi biasa pada peringkat awal.

“Biasanya seminggu sebelum Aidilfitri, jualan akan meningkat dan barangan cepat habis,” ujarnya.

Beliau yakin dan percaya tiada isu besar melibatkan bazar Aidilfitri di negeri ini setakat ini dan keadaan masih terkawal.

Pada masa sama, Rais turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu leka membuat persiapan Aidilfitri sehingga mengabaikan kelebihan 10 malam terakhir Ramadan yang menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda.