Kedai jahit jadi tumpuan pembeli baju raya online

Iklan
Syarif Al-Faiz sedang menyiapkan pakaian yang ditempah pelanggan di premis jahitan di Gohg Kapas Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Trend pembelian baju raya secara dalam talian kini antara sebab kedai jahit tidak menang tangan menerima pelanggan yang mahu melakukan pengubahsuaian pada pakaian yang baharu dibeli.

Tukang jahit muda, Syarif Al-Faiz Shariful Hadi, 24, berkata, sejak November tahun lalu, premisnya tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan yang membawa baju yang sudah siap dibeli namun tidak menepati saiz badan.

Iklan
Iklan

“Ramai yang datang untuk ubah suai baju raya yang dibeli secara dalam talian. Antaranya memendekkan labuh baju kurung, memendekkan lengan atau membaiki saiz seluar.

“Tetapi, kami ada prinsip sendiri. Kalau baju perempuan mahu dikecilkan mengikut bentuk badan, kami tidak buat. Kami hanya fokus pada bahagian asas seperti labuh dan lengan sahaja,” katanya ketika ditemui di premisnya di Gong Kapas, di sini.

Iklan

Syarif yang merupakan lulusan Kolej Profesional Baitulmal (MAIWP) mengusahakan perniagaan tersebut bersama bapanya, Shariful Hadi Alias, 51.

Antara kedai jahit yang menyediakan khidmat 'alter' pakaian yang telah siap dibeli.

Iklan

Walaupun permintaan tinggi, Syarif berkata, dia terpaksa mengehadkan jumlah tempahan bagi memastikan setiap pelanggan dapat menggayakan baju raya mengikut perancangan asal.

“Kalau potong baju sahaja, biasanya ambil masa dalam setengah jam. Tetapi dalam musim raya ini, kami perlu pastikan kerja siap tepat pada masanya,” tambahnya yang mengusahakan salah sebuah daripada tiga kedai jahit yang beroperasi di lokasi tersebut.

Sementara itu, seorang pelanggan, Ahmad Hishamuddin Harun, 41, berkata, khidmat ubah suai yang ditawarkan oleh kebanyakan tukang jahit di situ sangat membantu mereka yang membeli pakaian secara dalam talian.

“Tahun ini saya beli baju raya secara dalam talian. Masalahnya apabila beli secara dalam talian, kadang-kadang saiznya tidak tepat. Jadi saya terus bawa untuk ubah suai kerana cepat dan jahitannya sangat kemas.

“Bukan mahu kata kedai luar tidak bagus, tetapi saya puas hati dengan hasil jahitan di sini. Paling lama saya pernah tunggu pun cuma sejam sahaja,” katanya.