CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh kesejahteraan warga kerjanya menerusi penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) KinderHub@MCMC.
Inisiatif tersebut dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Selasa sebagai manifestasi komitmen berterusan MCMC dalam menyokong kebajikan warga kerja serta keluarga mereka.
Menurut MCMC, pendekatan itu mencerminkan komitmen holistik yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan institusi, malah mengiktiraf sokongan terhadap keluarga sebagai asas kepada tenaga kerja yang produktif, seimbang dan berdaya tahan.
"KinderHub@MCMC beroperasi Isnin hingga Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 7 malam dan mampu menempatkan seramai 153 kanak-kanak pada satu-satu masa.
"Pusat berkenaan menyediakan persekitaran yang selamat, ceria dan kondusif bagi penjagaan serta pendidikan awal, khusus untuk anak-anak warga kerja MCMC," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Majlis Perasmian KinderHub@MCMC turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
MCMC memberitahu, kemudahan itu dijangka memberi ketenangan kepada ibu bapa dalam mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga sekali gus menyokong kesejahteraan emosi, fokus serta produktiviti di tempat kerja.
Suruhanjaya terbabit turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh peranannya sebagai majikan pilihan dengan menyediakan pusat jagaan berkualiti yang menjamin aspek keselamatan, kualiti dan kebajikan anak-anak warga kerja.