Nyawa pemain bukan taruhan: Insiden Darren Lok dan cermin keselamatan Liga Malaysia

Iklan
Insiden membabitkan Darren Lok yang kepalanya hampir menghentam penghadang tepi padang sepatutnya menjadi loceng amaran paling kuat kepada pengurusan bola sepak negara. Gambar kanan:Mohd Norazwan

INSIDEN membabitkan Darren Lok yang kepalanya hampir menghentam penghadang tepi padang sepatutnya menjadi loceng amaran paling kuat kepada pengurusan bola sepak negara.

Dalam detik permainan yang pantas dan penuh adrenalin, seorang pemain yang sedang berjuang untuk pasukannya hampir membayar harga yang sangat mahal bukan kerana asakan lawan, tetapi kerana kegagalan mengurus ruang keselamatan di sekeliling padang.

Iklan
Iklan

Perlawanan bola sepak moden menuntut larian maksimum, terjahan berkelajuan tinggi dan perebutan bola hingga ke garisan akhir.

Namun, apabila jarak antara garisan tepi dengan struktur keras seperti papan iklan, dinding konkrit atau penghadang besi terlalu hampir, risiko bertukar menjadi tragedi.

Iklan

Dalam kes ini, hanya beberapa inci memisahkan aksi kompetitif daripada kemungkinan kecederaan kepala yang serius. Jika tidak tembok kebal itu bakal menjadi asbab kepada kemusnahan karier sorang pemain bola sepak yang berbakat.

Persoalannya, adakah keselamatan pemain benar-benar diberi keutamaan, atau sekadar memenuhi syarat minimum atas kertas?

Iklan

Sebagai badan induk, Football Association of Malaysia (FAM) mempunyai tanggungjawab memastikan setiap stadium mematuhi piawaian keselamatan yang jelas dan tegas.

Pada masa sama, standard antarabangsa yang digariskan oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA) bukan sekadar cadangan kosmetik, tetapi dirangka bagi melindungi nyawa dan kesejahteraan pemain.

Jika liga tempatan mahu berdiri sebaris dengan liga profesional lain di rantau ini, aspek keselamatan fizikal tidak boleh dikompromi.

Hakikatnya, banyak stadium tempatan dibina puluhan tahun lalu dengan reka bentuk yang tidak mengambil kira dinamika permainan moden.

Namun usia bukan alasan untuk berdiam diri. Penambahbaikan struktur, pemasangan bahan penyerap hentakan (padding), serta penyusunan semula papan iklan komersial adalah langkah asas yang boleh dilaksanakan.

Keuntungan komersial tidak seharusnya mengatasi keselamatan manusia.Lebih membimbangkan, insiden sebegini boleh memberi kesan psikologi kepada pemain.

Mereka mungkin terpaksa memperlahankan larian atau mengelak perebutan bola di tepi padang kerana bimbang bertembung dengan struktur keras.

Ini bukan sahaja menjejaskan mutu permainan, malah merencatkan daya saing liga itu sendiri.

Kita tidak perlu menunggu tragedi untuk bertindak. Sejarah sukan dunia menunjukkan bahawa banyak reformasi keselamatan hanya berlaku selepas insiden besar meragut nyawa.

Adakah bola sepak Malaysia mahu belajar melalui pengalaman pahit yang sama? Insiden Darren Lok harus dijadikan titik perubahan.

Audit keselamatan menyeluruh perlu dijalankan sebelum setiap musim, bukan selepas kecederaan berlaku. Setiap stadium mesti dinilai bukan sahaja dari segi kapasiti dan komersial, tetapi dari sudut risiko sebenar kepada pemain.

Bola sepak adalah tentang semangat, keberanian dan hiburan. Tetapi tiada satu pun nilai tersebut wajar ditebus dengan keselamatan pemain.

Profesionalisme sebenar bukan diukur melalui sorakan penonton atau nilai tajaan, sebaliknya melalui kesungguhan melindungi mereka yang berlari dan berkorban di atas padang.

Jika keselamatan masih dianggap isu kecil, maka kita sebenarnya sedang bermain dengan nasib dan kali ini, nyawa mungkin menjadi pertaruhannya.

*** Prof Madya Dr. Mohd Norazwan A. Bakar ialah Pensyarah kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor