JAKARTA – Seorang wanita, Yusnita Bete ,41, cedera parah ditetak oleh suaminya, Ignas Nasuluan ,41, selepas mangsa meminta dihantar ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) untuk bersalin pada Jumaat lalu.
Kejadian berlaku di Dusun Raisikun 1, Desa Alas Selatan, Kecamatan Kobalima Timur.
Menurut polis, Yusnita mengalami kesakitan sebagai tanda hendak bersalin, tetapi suaminya yang baru tiba dari Kota Kupang enggan menghantarnya ke pusat kesihatan.
Mangsa berterusan mendesak suaminya, menyebabkan suspek hilang kawalan dan menetak mangsa dengan sebilah parang, mengakibatkan luka parah pada tangan kiri serta kehilangan banyak darah.
Mangsa berjaya melarikan diri ke Pos Pengawasan Tentera Nasional Indonesia AD berhampiran rumah.
Anggota tentera kemudian segera membawanya ke Puskesmas Namfalus Motamasin, sebelum dirujuk ke Hospital Betun, Kabupaten Malaka kerana keadaannya kritikal.
Di hospital, Yusnita menjalani pembedahan caesar bagi kelahiran bayi serta rawatan luka parah di tangan.
Bayi dilahirkan dalam keadaan sihat, manakala mangsa masih menerima rawatan rapi.
Polis telah menahan Ignas dan merampas parang yang digunakan. Suspek mengaku bertindak secara spontan dan tidak berniat mencederakan isteri, serta dalam keadaan keletihan ketika kejadian berlaku.
Kes ini sedang disiasat oleh Polis Malaka, dengan mangsa dan beberapa saksi telah memberikan keterangan bagi tindakan undang-undang selanjutnya.-Agensi