NEW YORK - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) digesa supaya mengambil tindakan tegas, jelas dan tanpa sebarang keraguan berhubung serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani dalam kenyataan kepada media berkata, Amerika Syarikat dengan kerjasama penuh Israel telah melancarkan 'serangan ketenteraan kedua yang disengajakan dan tidak diprovokasi' terhadap negaranya.
Menurut beliau, serangan itu merupakan satu tindakan pencerobohan terancang yang menyasarkan bandar-bandar utama serta kawasan awam yang padat penduduk, mengakibatkan ratusan orang awam terbunuh dan ramai lagi cedera.
“Ia adalah pelanggaran jelas terhadap Piagam PBB yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah mana-mana negara,” katanya.
Iravani turut mendakwa bahawa serangan berkenaan menyasarkan pemimpin tertinggi Iran serta beberapa pegawai kanan tentera negara itu.
"Tindakan tersebut merupakan pencabulan serius undang-undang antarabangsa dan serangan langsung terhadap prinsip kesaksamaan kedaulatan sesebuah negara anggota PBB," ujarnya.
Beliau juga menuduh Amerika Syarikat dan Israel menyasarkan orang awam serta infrastruktur awam secara sengaja, termasuk sebuah sekolah di wilayah Hormozgan di selatan Iran yang mengorbankan 165 pelajar perempuan.
Tegasnya, tindakan itu merupakan pencerobohan, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Dalam pada itu, Iravani menegaskan bahawa Iran sedang melaksanakan hak mempertahankan diri selaras dengan Perkara 51 Piagam PBB.
"Tindak balas Iran adalah sah, perlu dan setimpal dengan hanya menyasarkan sasaran ketenteraan pihak yang bermusuhan.
“Iran tidak mencari peperangan dan tidak mahu meningkatkan ketegangan, namun Iran tidak akan sesekali menyerah terhadap kedaulatannya,”jelasnya.
Beliau turut menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya tidak berdiam diri dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan atas tindakan tersebut. - Agensi