Tindakan terhadap pelajar pijak al-Quran diambil ikut peraturan universiti - Zambry

Iklan
Zambry (empat, kanan) mengacau gulai kawah pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan di UMK Bachok pada Isnin.

BACHOK - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menegaskan tindakan terhadap pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran perlu diambil mengikut peraturan dan prosedur tatatertib universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya sudah mengarahkan supaya tindakan sewajarnya dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan dan kerangka perundangan sedia ada.

Iklan
Iklan

"Pihak universiti mempunyai mekanisme serta peruntukan tatatertib yang jelas dalam menangani salah laku pelajar dan tindakan sewajarnya akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan serta kerangka perundangan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas insiden berkenaan ketika ditemui pada Majlis Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat adil dan berhemah serta tidak dipengaruhi emosi sehingga mencetuskan konflik lebih besar dalam masyarakat.

Katanya, kes tersebut kini dalam siasatan polis dan sebarang keputusan lanjut perlu dibuat selepas proses siasatan selesai.

Iklan

Zambry menegaskan universiti sebagai gedung ilmu seharusnya menjadi medan menyuburkan semangat saling hormat-menghormati antara pelajar pelbagai kaum dan agama.

"Tindakan menghina mana-mana agama akan menimbulkan kemarahan, lebih-lebih lagi jika melibatkan kitab suci seperti al-Quran bagi umat Islam.

"Begitu juga jika ia berlaku terhadap agama-agama lain, ia tidak boleh dipandang ringan," ujarnya.

Beliau turut menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pelajar institusi pengajian tinggi yang terlibat dalam perbuatan menghina agama sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang penuntut lelaki di sebuah IPTA yang disiasat berhubung kes memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada Selasa.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan terdapat keterangan mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap lelaki berkenaan.