BACHOK – Kerajaan menyeru semua pelajar Malaysia yang berada di Asia Barat, khususnya yang tidak berdaftar dengan Pejabat Pendidikan Malaysia (EM), supaya segera memaklumkan keberadaan mereka kepada pihak kedutaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin sekiranya berlaku sebarang perkembangan buruk susulan konflik yang sedang berlaku di rantau berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini belum ada permintaan rasmi daripada pelajar Malaysia untuk dibawa pulang, namun pemantauan berterusan sedang dilakukan oleh EM.
"Walaupun belum ada permintaan untuk pulang, kita telah pun memaklumkan kepada EM di Dubai dan Jordan yang memantau seluruh negara Arab.
"Mereka sentiasa memantau dan memaklumkan kepada saya dari semasa ke semasa mengenai keadaan pelajar Malaysia di sana," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Isnin.
Zambry berkata, seruan itu bukan hanya tertumpu kepada pelajar yang berdaftar dengan EM, tetapi turut melibatkan pelajar yang berada di luar negara secara persendirian dan tidak berdaftar secara rasmi.
Katanya, kerajaan tidak akan membezakan mana-mana pelajar dalam situasi kecemasan kerana keselamatan mereka adalah keutamaan.
“Kita pernah mengendalikan situasi sama sebelum ini termasuk ketika konflik di Sudan, di mana beberapa langkah diambil untuk membawa keluar pelajar dari zon konflik.
“Dalam keadaan seperti ini, saya merayu supaya mereka segera memaklumkan kepada pihak kedutaan kerana di setiap kedutaan terdapat EM yang boleh mengurus serta menyelaras bantuan sekiranya diperlukan,” katanya.
Beliau menegaskan, langkah proaktif itu penting bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan awal termasuk tindakan pemindahan keluar pelajar sekiranya keadaan keselamatan semakin meruncing.