688kg lebihan makanan diselamatkan di Ipoh

Iklan
Sandrea (kiri) ketika meninjau keadaan padang di Stadium Perak di Ipoh pada Isnin.

IPOH - Dalam tempoh hanya 11 hari, sebanyak 688.654 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan di lima bazar Ramadan sekitar bandar raya ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, lebihan makanan yang dikumpulkan bermula 19 Februari hingga 1 Mac itu diselamatkan menerusi pelaksanaan Program MySaveFood.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama secara aktif dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan peniaga untuk mengumpulkan makanan yang masih elok serta sesuai dimakan sebelum diagihkan kepada golongan berkeperluan.

"Program ini sudah masuk tahun ketiga. Dari semasa ke semasa, mereka meluaskan kawasan dan menambah tenaga kerja bagi memperkukuhkan kerjasama dengan peniaga.

Iklan

"Kita sedia maklum bahawa setiap tahun, bazar Ramadan memang berdepan isu lebihan makanan yang tidak habis dijual dan kebiasaannya tidak lagi sesuai untuk dijual pada keesokan hari.

"Jadi dengan adanya inisiatif ini, bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah makanan tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja meninjau keadaan padang di Stadium Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha MBI, Ahmad Munir Ishak dan Pengarah Jabatan Taman dan Landskap MBI, LAr Mohd Nazim Mohamed Nor.

Sandrea memaklumkan inisiatif sama turut dilaksanakan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Perak dengan kerjasama NGO masing-masing bagi memastikan lebihan makanan di bazar Ramadan dapat diuruskan secara lebih sistematik.

"Di Ipoh, pelaksanaan program itu melibatkan bazar Ramadan di Stadium Perak, Taman Cempaka, Taman Perpaduan, Silibin Utara dan bazar Medan Gopeng," katanya.