Tun Faisal gesa Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang

Iklan
Tun Faisal (gambar kanan) menggesa Hamzah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang.

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa Datuk Seri Hamzah Zainudin meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang.

Tun Faisal berkata, tindakan Hamzah yang berterusan mengeluarkan kenyataan dan bersuara seolah-olah mewakili Perikatan Nasional (PN) dilihat bertentangan dengan dasar gabungan berkenaan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, perbuatan tersebut juga didakwa melanggar prinsip tadbir urus Parlimen dan etika dalam berpolitik.

“Dari perspektif etika politik, Larut (Hamzah) wajar mengambil langkah sukarela untuk melepaskan jawatan Ketua Pembangkang demi memelihara maruah dan integriti diri, prinsip berparti dan sekiranya mempunyai perasaan malu.

Iklan

“Akur dan menerima status Ahli Parlimen Bebas dan melepaskan jawatan Ketua Pembangkang adalah langkah profesional serta beretika yang mencerminkan maruah, tanggungjawab, dan prinsip politik yang tinggi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan pembangkang tidak berhasrat untuk mengemukakan sebarang pemakluman rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung jawatan Ketua Pembangkang ketika ini.

Iklan

Justeru, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin masih kekal sebagai Ketua Pembangkang.

Tun Faisal pada Selasa dilaporkan menggesa Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dipindahkan segera ke blok Bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Menurutnya, PN perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen.

Sementara itu, Tun Faisal berkata, Hamzah tidak mempunyai locus standi atau hak untuk mewakili Bersatu atau PN dalam sebarang kapasiti, termasuk membuat kenyataan dan urusan rasmi bagi gabungan tersebut serta blok pembangkang.

Ujar beliau, ia kerana Ketua Pembangkang merupakan jawatan dalam blok parti seperti termaktub dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 4A(4) dan konvensyen Westminster, iaitu legitimasi politik di mana seseorang ahli Parlimen bergantung kepada keahlian parti dan representasi institusi.

“Hamzah sepatutnya menghentikan sebarang kenyataan atau tindakan yang memberi gambaran beliau masih mewakili PN.

“Mengakui bahawa jawatan Ketua Pembangkang kini kosong dan menerima status sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Menghormati prinsip, menjaga maruah diri dan institusi Dewan Rakyat serta PN, dan mempunyai perasaan malu,” ujarnya.