SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menafikan dakwaan bahawa beliau menawarkan dirinya sebagai calon Ketua Pembangkang.
Mohd Radzi berkata, dakwaan itu dibuat susulan pertemuan beliau bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila, Marang pada 18 Februari lalu.
“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak pernah menyebut nama saya sebagai calon Ketua Pembangkang mewakili Bersatu dalam pertemuan tersebut.
“Fakta atau kebenaran ini boleh disemak dengan sahabat yang turut hadir dalam pertemuan itu iaitu Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Bachok, Shahir Sulaiman dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Datuk Razali Idris.
“Bahkan boleh disahkan juga dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan pembangkang tidak berhasrat untuk mengemukakan sebarang pemakluman rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung jawatan Ketua Pembangkang ketika ini.
Justeru Takiyuddin menjelaskan, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin masih kekal sebagai Ketua Pembangkang.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pada Jumaat berkata, proses penggantian Ketua Pembangkang boleh dilaksanakan kemudian selepas Majlis Tertinggi PN memutuskan siapa Ketua Pembangkang baharu.
Tun Faisal berkata, perkara itu boleh dilakukan selepas Dewan Rakyat tamat bersidang dan tiada kaitan dengan tempoh berapa hari lagi Dewan Rakyat perlu bersidang.
Ujar Mohd Radzi, beliau dimaklumkan mengenai dakwaan berkenaan ketika membuat persiapan bagi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) di Dewan Rakyat pada petang Isnin.
“Di bulan Ramadan yang mulia, saya doakan agar mereka yang menyebarkan fitnah ini insaf. Mohon sahabat-sahabat kongsikan penjelasan tersebut,” ujarnya.