PRN: BN Perak gerak jentera bantu kempen di 13 DUN

Iklan
Saarani (kanan) dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia Ipoh pada Isnin.

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak akan menghantar jenteranya ke Johor dan Negeri Sembilan bagi membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan memberi fokus kepada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jentera parti negeri ini diamanahkan untuk membantu persiapan kempen bagi memastikan gerak kerja kempen di kedua-dua negeri berkenaan berjalan lancar.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, bagi PRN Johor, jentera Perak akan memberi tumpuan di DUN Bukit Kepong, Bukit Pasir, Gambir, Tangkak dan Serom yang melibatkan Parlimen Pagoh dan Ledang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.

Iklan

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, situasi PRN kali ini mungkin memberi cabaran kepada jentera parti memandangkan kedua-dua PRN berlangsung secara berasingan dalam tempoh yang berdekatan.

“Dalam politik ini, sama ada susah atau senang, kita tetap perlu harungi. Tidak ada istilah mudah untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Saarani berkata, tahun ini Program Hari Bertemu Pelanggan berjaya mengumpulkan 600 aduan dengan 498 aduan atau 83 peratus daripadanya telah diselesaikan.

Katanya, baki 102 aduan lagi atau 17 peratus masih dalam proses tindakan lanjut.

"Hari ini sahaja, sebanyak 262 aduan telah diterima dan ia merupakan jumlah tertinggi setakat penganjuran program.

"Ini menunjukkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap program ini sebagai platform yang berkesan untuk menyuarakan permasalahan," katanya.

Terdahulu, Saarani menyampaikan insentif RM4,000 kepada 10 pesara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri yang telah bersara dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.