SHAH ALAM - Kumpulan Persahabatan Parlimen-Asia Barat menggesa supaya semua bentuk serangan ketenteraan dalam konflik di Asia Barat dihentikan serta-merta dan gencatan senjata dilaksanakan tanpa sebarang syarat.
Pengerusinya, Zahir Hassan berkata, usaha diplomatik mesti diberikan ruang sepenuhnya agar penyelesaian yang adil, berkesan dan berkekalan dapat dicapai.
Beliau berkata, serangan yang dilancarkan rejim Zionis Israel terhadap Republik Islam Iran itu merupakan tindakan agresif, provokatif dan tidak bertanggungjawab, serta berpotensi mencetuskan ketidakstabilan yang berpanjangan di rantau ini.
"Tindakan ini merupakan satu pencabulan terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat dan bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Penggunaan kekerasan secara sengaja dalam keadaan ini hanya memperlihatkan pengabaian terhadap norma antarabangsa serta menghakis asas ketertiban global yang dibina melalui undang-undang dan diplomasi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahli Parlimen Wangsa Maju itu berkata, tindakan ketenteraan berkenaan bukan sahaja menutup ruang dialog, malah meningkatkan risiko tindak balas yang tidak dapat dijangka, seterusnya menyebabkan ketegangan dan konflik di rantau ini semakin memuncak.
"Serangan ini berlaku ketika usaha diplomatik dan kerangka rundingan masih wujud.
"Dalam hal ini, kegagalan pihak-pihak berkepentingan, termasuk sekutu utama Israel untuk mempertahankan komitmen terhadap perjanjian dan proses diplomatik sedia ada wajar dipersoalkan.
"Sikap ini bukan sahaja membiarkan ketegangan terus memuncak, malah melemahkan kepercayaan terhadap usaha keamanan antarabangsa," ujarnya lagi.
Zahir berkata, Malaysia kekal konsisten dengan pendirian bahawa konflik serantau tidak boleh diselesaikan melalui kekerasan atau paksaan ketenteraan.
"Semua pihak perlu menunjukkan tahap pengekangan yang tinggi serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan konflik lebih besar," katanya.