Lesen operasi Lynas di Malaysia dilanjut 10 tahun lagi

Iklan
Amanda Lacaze. Foto: Forbes

SHAH ALAM - Lesen operasi Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) di Malaysia telah diperbaharui oleh kerajaan untuk tempoh selama 10 tahun lagi bermula 3 Mac.

Syarikat perlombongan dari Australia itu menerima surat daripada Jabatan Tenaga Atom Malaysia berhubung pembaharuan tersebut dan lesen rasmi akan dikeluarkan oleh pihak pengawal selia dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas, Amanda Lacaze berkata, tempoh lesen yang lebih panjang itu memberi kepastian pelaburan kepada syarikat berkenaan serta rakan rantaian bekalan dan pelanggan industri nadir bumi.

"Lynas mengalu-alukan tempoh lesen yang lebih panjang ini kerana ia memberikan kepastian pelaburan yang lebih kukuh kepada Lynas serta rakan rantaian bekalan dan pelanggan kami.

Iklan

"Bagi pihak semua pekerja Lynas, kami merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas perhatian terhadap perkara ini serta sokongan terhadap industri nadir bumi di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pembaharuan lesen itu dibuat selepas Lynas merancang untuk membina sebuah loji pemisahan unsur nadir bumi berat (HRE) baharu bernilai RM500 juta di Malaysia bagi memenuhi permintaan kukuh terhadap sumber yang boleh dipercayai di luar China.

Iklan

China selama ini menguasai pasaran nadir bumi dunia, namun sekatan eksport serta kawalan teknologi pemprosesan yang diperketatkan negara itu telah membuka ruang kepada pemain lain, termasuk Lynas, untuk mengisi kekosongan bekalan global.

Loji Lynas di Malaysia kini merupakan satu-satunya pengeluar komersial nadir bumi di luar China, bahan penting dalam penghasilan kenderaan elektrik (EV), turbin angin dan pelbagai teknologi pertahanan serta elektronik canggih.