Jemaah umrah terkandas di Jeddah mohon bantuan penginapan, hampir kehabisan wang

Iklan
Seorang jemaah berkongsi perkembangan keadaannya yang terkandas di Jeddah menerusi akaun Tik Tok @chayennn6.

SHAH ALAM - Seorang jemaah Malaysia yang terkandas di Jeddah merayu bantuan penginapan selepas wang simpanannya bersama jemaah lain hampir kehabisan susulan pembatalan penerbangan pulang ke tanah air.

Wanita dikenali sebagai Chayen berkata, syarikat yang mengendalikan pakej umrah mereka sebelum ini menanggung kos penginapan dan makan minum sejak beberapa hari lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, dia bersama neneknya dan 27 jemaah lain kini perlu menanggung sendiri perbelanjaan untuk hari-hari seterusnya, sedangkan mereka sudah hampir kehabisan wang.

"Untuk hari-hari berikutnya, kami kena bertahan menggunakan duit sendiri, yang mana sudah hendak habis. Doakan kami dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

Iklan

"Jikalau ada kenalan di Jeddah yang ada rumah boleh duduk. Satu rumah (untuk) jemaah perempuan 20 orang ramai-ramai pun boleh. Satu rumah (lagi) jemaah lelaki. Lagi jimat, tidak payah duduk hotel pun tak apa, (rumah) yang boleh masak makan ramai-ramai," katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Sebelum ini, video dimuat naik melalui akaun TikTok miliknya, @chayennn6, mendapat perhatian ramai hingga meraih 511,600 tontonan.

Iklan

Chayen berkata, mereka sepatutnya menaiki penerbangan pulang yang dikendalikan sebuah syarikat berpangkalan di Dubai pada jam 4 pagi, Ahad lalu, namun dibatalkan memandangkan ruang udara ditutup akibat konflik di Asia Barat.

Menurutnya, pada awalnya mereka menyangka pihak syarikat penerbangan akan menyediakan penginapan dan makanan selepas penerbangan dibatalkan.

“Rupanya tidak sebab dalam polisi syarikat kalau macam flight tangguh selama lima jam ataupun 10 jam, (maka) syarikat akan tanggung kalau tak silap saya.

"Tapi (sekarang) ini penerbangan batal disebabkan peperangan. Jadi bukan di bawah tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan hanya menyediakan tiket pulang secara percuma, namun kos penginapan dan makan minum sepanjang berada di Jeddah tidak ditanggung.

Dalam perkembangan sama, Chayen memaklumkan keadaan mereka adalah selamat memandangkan tiada pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai mendoakan agar ruang udara dibuka semula supaya mereka dapat pulang ke tanah air dalam keadaan selamat.