NEW DELHI – Parti-parti pembangkang India mengkritik lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Israel minggu lalu, mendakwa ia memberikan sokongan bersyarat terhadap serangan udara yang kemudiannya dilancarkan ke atas Iran, sekali gus mencetuskan krisis serantau.
Parti Kongres Kebangsaan India menyifatkan lawatan dua hari Modi ke Israel pada 28 Februari sebagai tidak kena pada waktunya, selain memberi persepsi penyelarasan berpihak dan ‘pengesahan senyap’ terhadap serangan bersama Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Jurucakap parti berkenaan, Jairam Ramesh, menyatakan pada 1 Mac bahawa tindak balas kerajaan Modi adalah ‘pengkhianatan terhadap nilai, prinsip, kebimbangan dan kepentingan India’, manakala pemimpin lain, Priyanka Gandhi, menyifatkan pembunuhan pemimpin Iran, Ali Khamenei, sebagai tidak bermoral.
Serangan ke atas Iran turut mendapat kecaman keras daripada parti pembangkang India lain pada hari yang sama.
Dengan kira-kira sembilan juta rakyat India bekerja di rantau Teluk dan negara itu sangat bergantung kepada import minyak, krisis yang memburuk di Iran menimbulkan ketidaktentuan baharu terhadap ekonomi negara.
India mengimport hampir lima juta tong minyak setiap hari, menjadikannya pengguna minyak ketiga terbesar di dunia.
Ahli ekonomi dan penganalisis meramalkan kenaikan harga tenaga yang dijangka menjejaskan defisit akaun semasa India serta menambah tekanan ke atas nilai rupee dan inflasi bahan api.
Serangan di Iran juga menjejaskan pelaburan India di Pelabuhan Chabahar yang membolehkan negara itu mengeksport barangan ke Afghanistan dan Asia Tengah tanpa melalui Pakistan.
Operasi di pelabuhan itu telah dikurangkan selepas AS mengenakan sekatan terhadap Iran.
Walaupun krisis ini menimbulkan ketidaktentuan ekonomi, pakar menegaskan hubungan strategik India dengan Iran tetap penting, termasuk kerjasama keselamatan dan perisikan yang telah dijalankan selama beberapa dekad. – Agensi