TEHRAN– Stesen televisyen negara Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) dilaporkan digodam pada Ahad waktu tempatan apabila siaran biasa mereka tiba-tiba digantikan dengan rakaman pidato dua pemimpin dunia.
Rakaman tersebut memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyampaikan ucapan secara langsung kepada rakyat Iran.
Menurut laporan Iran International, saluran satelit milik IRIB telah diceroboh sebelum menyiarkan klip ucapan kedua-dua pemimpin berkenaan selama beberapa minit.
Dalam rakaman yang kemudiannya tular di media sosial, Trump dan Netanyahu dilihat menggesa rakyat Iran supaya mengambil alih nasib sendiri serta bangkit menentang rejim yang memerintah di Tehran.
Sumber memaklumkan, penggodaman itu berlangsung kira-kira 10 minit ketika IRIB TV 3 sedang menyiarkan perlawanan bola sepak.
Siaran sukan tersebut secara tiba-tiba bertukar kepada rakaman pidato politik dengan sari kata bahasa Parsi.
Turut dipaparkan dalam siaran berkenaan ialah mesej teks yang menyeru rakyat Iran mengambil alih kawalan daripada kerajaan semasa.
Beberapa klip turut memaparkan rakaman serangan ketenteraan yang didakwa berkait dengan operasi bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap sasaran di Iran.
Insiden tersebut berlaku ketika ketegangan di Asia Barat dilaporkan semakin memuncak susulan beberapa siri serangan yang menyasarkan lokasi strategik di Iran, termasuk kawasan dikaitkan dengan pejabat Pemimpin Tertinggi negara itu.
Iran International menyifatkan penggodaman berkenaan sebagai satu penghinaan besar terhadap pihak berkuasa Iran.
Setakat ini, kerajaan negara itu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Tiada pengesahan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan siber itu.