Khatam al-Quran 12 kali sepanjang Ramadan hanya berbekalkan cahaya lilin

Iklan
Antara pelajar Madrasah Addiniah Azzakiah yang tekun membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan dan meneruskan amalan tersebut pada bulan-bulan seterusnya.

HULU TERENGGANU – Amalan istiqamah pelajar Madrasah Addiniah Azzakiah, Lubuk Periok di sini yang tekun menghabiskan bacaan al-Quran dan menelaah sehingga lewat malam membuahkan hasil apabila sebahagian daripada mereka berjaya khatam sehingga 12 kali sepanjang Ramadan lalu.

Seorang pelajar, Muhammad Mahfuz Tarmizi, 19, berkata, suasana sunyi pada waktu malam merupakan waktu terbaik untuk membaca kalam ALLAH itu memandangkan jadual kelas yang padat pada waktu siang.

Iklan
Iklan

"Ramadan adalah bulan yang sangat mulia kerana pada bulan inilah al-Quran diturunkan. Jadi, membacanya merupakan satu kelebihan yang besar buat kami di sini.

"Alhamdulillah, setiap hari saya mampu menghabiskan lebih tujuh juzuk. Biasanya saya boleh khatam sehingga 12 kali sepanjang Ramadan, namun bergantung kepada kesungguhan dalam bacaan harian," katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Iklan

Pemuda yang telah bergelar hafiz sejak berusia 12 tahun itu mengakui mengekalkan ingatan terhadap 30 juzuk al-Quran yang mengandungi 114 surah dan 6,236 ayat bukanlah tugas mudah.

Wan Muhammad Imran tekun membaca al-Quran dan menjadikan ia sebagai antara amalan utama sepanjang bulan Ramadan bagi mengukuhkan lagi hafazan.

Iklan

Ujarnya, cabaran sebenar adalah untuk memastikan setiap ayat yang dihafaz tidak hilang daripada ingatan dan proses itu menuntut disiplin yang tinggi.

"Dalam bahasa mudah, menjaga (mengingati) itu jauh lebih susah daripada sekadar membaca teks. Jadi, bulan Ramadan inilah peluang terbaik untuk saya terus istiqamah menjaga kitab ALLAH ini dengan baik," katanya.

Sementara itu, rakannya, Wan Muhammad Imran Wan Mohd Ariffin, 17, berkata, dia tetap mencuri masa di sebalik komitmen harian untuk memastikan sasaran bacaannya tercapai.

Jelasnya, setiap pelajar ditempatkan di sebuah pondok secara bersendirian, sekali gus memberi ruang privasi untuk mereka fokus kepada ibadah tersebut.

"Walaupun sibuk, saya pastikan sekurang-kurangnya dapat khatam tiga kali sepanjang Ramadan. Peluang ini hanya datang sebulan dalam setahun, rugi kalau tidak dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Walaupun hanya bertemankan cahaya lilin di dalam pondok, pelajar Madrasah Addiniah Azzakiah tetap tekun mengalunkan ayat suci al-Quran seorang diri demi mengejar keberkatan bulan mulia ini.

Semangat yang sama turut dikongsi pelajar paling muda, Ahmad Zuhdi Mohd Zohir, 13, yang tidak mahu ketinggalan mengikut jejak langkah rakan-rakan seniornya.

Katanya, walaupun hanya bertemankan cahaya lilin di dalam pondok, dia tetap tekun mengalunkan ayat suci al-Quran seorang diri demi mengejar keberkatan bulan mulia ini.

"Alhamdulillah, setiap kali Ramadan saya mampu khatam lebih daripada tiga kali," ujarnya.