Angkat MA63 sebagai agenda nasional bukti keterbukaan Kerajaan Madani - Mustapha

Iklan
Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR - Komitmen berterusan Kerajaan Madani melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terbukti apabila perjanjian itu kini diangkat sebagai agenda nasional dan bukan lagi isu wilayah semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Malah, kata beliau titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa pembukaan sidang Dewan Rakyat sebelum ini secara spesifik menyatakan MA63 ialah tulang belakang pembentukan negara, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam wacana nasional.

Iklan
Iklan

Mustapha berkata, perkembangan positif itu juga jelas apabila ahli Parlimen dari Semenanjung turut mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan berkaitan MA63 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain mengemukakan soalan berkaitan pelaksanaannya.

Beliau berkata, sebelum ini, ramai yang melihat isu MA63 seolah-olah hanya isu wilayah yang membabitkan negeri Sabah dan Sarawak sahaja dan kurang menjiwai sejarah di sebalik perjanjian itu yang merupakan sebahagian daripada sejarah penting pembentukan Malaysia itu sendiri.

Iklan

"Apabila kita angkat isu ini (sebagai agenda nasional), rakyat mula sedar bahawa Sabah dan Sarawak bukan ‘masuk’ Malaysia, sebaliknya kita bersama-sama membentuk Malaysia ini dan ada syarat-syaratnya. Syarat-syarat itulah sebenarnya yang menjadi polemik hingga sekarang.

"Jadi, ada pelbagai interpretasi. Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab (Hal Ehwal Sabah dan Srawak) cuba mengharmonikan pandangan (Sabah dan Sarawak) dan Kerajaan Persekutuan ini untuk mencari titik-titik persamaan,” katanya semasa temu bual khas bersama Bernama.

Iklan

Mustapha berkata, semua pihak perlu menghormati adab-adab perbezaan pandangan dan berharap perbezaan pandangan itu dapat dirungkai dengan fokus utamanya adalah untuk mencari kebenaran dan bukannya memecahbelahkan.

Beliau berkata, walaupun ada pihak tertentu memilih pendekatan mahkamah bagi menyuarakan antaranya tuntutan 40 peratus hasil Sabah, beliau menegaskan bahawa kaedah rundingan menerusi Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) kekal sebagai saluran utama penyelesaian.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, hal ini kerana reformasi MA63 dalam konteks Kerajaan Madani kini memperlihatkan keterbukaan untuk mengadakan rundingan, seterusnya menyelesaikan banyak perkara atas persetujuan semua pihak.

"Saya fikir itu (perundingan) yang menyebabkan sembilan perkara berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga tahun pemerintahan Kerajaan Madani.

"Inilah ketelusan Kerajaan Madani, malah sejak dari awal lagi, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyatakan kita perlu hormati isu-isu berkaitan MA63 untuk kita runding dan laksanakan mengikut kapasiti kerajaan, terutama kedudukan kewangan,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat Mac tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 memaklumkan sembilan perkara atau tuntutan asas berkenaan MA63 telah selesai sepenuhnya.

Antara perkara yang telah selesai ialah penyerahan semula kuasa pentadbiran terhadap Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah; pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, tuntutan asas melibatkan kajian semula pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D (RM300 juta) telah selesai sebahagian atau interim, manakala tiga tuntutan telah mempunyai keputusan dasar, iaitu membabitkan pemberian kuasa tentang alam sekitar, tenaga buruh di Sabah dan Sarawak serta kuasa mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan).

Sementara 14 tuntutan antaranya isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750], hak negeri terhadap pelantar benua serta pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan masih dalam perbincangan.

Mengulas berhubung usaha memastikan rakyat terus diberi maklumat terkini berkenaan perkembangan rundingan dan pelaksanaan MA63 itu, Mustapha berkata kementeriannya telah memperkenalkan papan pemuka (dashboard) MA63 untuk rakyat menyemak isu itu dari semasa ke semasa.

Mustapha berkata, papan pemuka MA63 yang dilancarkan pada 26 Jan lepas menerusi laman web Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) setakat ini menerima lebih 6,000 pelawat, sekali gus mencerminkan ketelusan kerajaan untuk berkongsi perkembangan pelaksanaan perjanjian itu. - Bernama