Iran umum kejayaan Operasi Janji Benar 4, kapal tangki dan pangkalan AS terjejas

Iklan
Peluru berpandu milik Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC). Foto Agensi

TEHERAN - Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan kejayaan gelombang terkini Operasi Janji Benar 4 yang menyasarkan kepentingan strategik Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas republik Islam itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, IRGC menyatakan gelombang ketujuh dan kelapan operasi itu melibatkan pelancaran peluru berpandu bersiri serta penggunaan dron berskala besar ke atas sasaran musuh.

Iklan
Iklan

Serangan itu dilaporkan mengenai tiga kapal tangki minyak milik AS dan Britain di Teluk Parsi dan Selat Hormuz sehingga terbakar sepenuhnya.

Pangkalan tentera laut AS di Ali Al-Salem, Kuwait, dilaporkan terhenti operasinya sepenuhnya manakala tiga fasiliti maritim lain di Pangkalan Tentera Laut Mohammed Al-Ahmad turut terjejas.

Iklan

Di Bahrain, pangkalan tentera laut AS di Mina Salman menjadi sasaran empat dron, yang mengakibatkan kerosakan ketara pada pusat kawalan dan sokongan.

Dua peluru berpandu tambahan turut menjejaskan lokasi anggota tentera AS di kawasan lain, sementara pangkalan Amerika lain di rantau ini turut menerima serangan berturutan.

Iklan

IRGC mendakwa setakat ini serangan balas tersebut menyebabkan ratusan anggota tentera AS cedera atau maut.

Pihaknya menekankan operasi peluru berpandu dan dron akan diteruskan secara meluas dan berterusan, dan maklumat lanjut mengenai pencapaian anggota tentera Iran akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Selain serangan ke atas pangkalan darat dan kapal tangki, IRGC turut mengumumkan bahawa kapal induk USS Abraham Lincoln disasarkan dengan empat peluru berpandu dan berjaya mengenai sasaran.

Operasi Janji Bernar 4 ini dilancarkan selepas kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, semasa serangan gabungan Israel dan AS bermula pada Sabtu.

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, serangan musuh setakat ini mengakibatkan kematian ratusan individu, termasuk lebih 100 kanak-kanak dalam serangan ke atas sebuah sekolah rendah di wilayah Hormozgan, selatan Iran. - Agensi