BAITULMAQDIS - Tujuh individu cedera di kawasan Baitulmaqdis susulan bedilan terbaharu peluru berpandu yang dilepaskan dari Iran pada Ahad malam, menurut pihak bomba Israel.
Menurut kenyataan perkhidmatan bomba kebangsaan, anggota bomba daerah Baitulmaqdis kini bertindak balas di lokasi impak yang terletak di sebuah lebuh raya di wilayah Baitulmaqdis.
“Menurut pihak berkuasa perubatan, tujuh mangsa yang cedera dengan tahap kecederaan berbeza-beza telah dipindahkan dari lokasi kejadian untuk menerima rawatan,” tambah kenyataan itu.
Kejadian itu berlaku selepas beberapa letupan kuat kedengaran di ruang udara bandar berkenaan susulan pengumuman tentera Israel bahawa mereka mengesan peluru berpandu dilancarkan dari Iran.
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom memaklumkan mereka sedang merawat seorang lelaki berusia sekitar 50 tahun dalam keadaan sederhana dan lima individu lain dalam keadaan ringan.
Polis Israel pula menyatakan operasi pencarian sedang dijalankan di kawasan Baitulmaqdis susulan laporan serpihan pemintas daripada peluru yang jatuh di beberapa lokasi.
Dalam satu lagi kenyataan, polis memaklumkan pegawai daerah Baitulmaqdis sedang melakukan pencarian di seluruh daerah itu berikutan laporan objek peluru jatuh di beberapa lokasi.
Saluran televisyen Israel, Channel 11 dan Channel 12, menyiarkan rakaman anggota polis dan penyelamat dikerahkan ke kawasan yang menunjukkan kerosakan yang dapat dilihat, satu di tengah negara dan satu lagi di kawasan Baitulmaqdis.
Di kawasan Baitulmaqdis, rakaman menunjukkan jalan dipenuhi pelbagai serpihan termasuk batu.
Di tengah negara, beberapa kenderaan dilihat mengalami kerosakan.
Tentera Isael melarang media mendedahkan lokasi sebenar tapak impak. - AFP