PUTRAJAYA – VFive Group Sdn. Bhd., syarikat milikan penuh Bumiputera, melancarkan pelaksanaan strategi jangka panjang berteraskan lima pemacu utama bagi memperkukuh kedudukan dalam sektor pengurusan fasiliti dan pembinaan.
Strategi berkenaan dirangka bagi memastikan pertumbuhan lebih tersusun, berstruktur serta mampan dalam tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, pendekatan baharu itu memfokuskan kepada pengukuhan sektor teras melalui pembangunan portfolio berasaskan aset serta peluasan model konsesi bagi menjamin aliran pendapatan yang lebih stabil dan berulang.
“Fokus kami adalah memastikan VFive berkembang secara konsisten supaya kekal relevan dan memberi impak merentas generasi,” katanya pada Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 di sini.
Lima pemacu strategik tersebut merangkumi Strategi Arah Tuju, Kecemerlangan Operasi, Kemampuan Kewangan, Kepimpinan dan Bakat serta Tadbir Urus dan Integriti.
Dalam aspek operasi, syarikat komited memperkasakan inovasi dan teknologi pintar merentasi keseluruhan kitaran projek, selain memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti pelaksanaan.
Dari sudut kewangan, tumpuan diberikan kepada pengukuhan aliran tunai positif serta perluasan sumber pendapatan berulang (recurring income) bagi membina daya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Pada masa sama, pembangunan modal insan diberi penekanan melalui usaha melahirkan barisan kepimpinan yang berprinsip dan selari dengan nilai teras syarikat, di samping memperkukuh amalan tadbir urus berintegriti, telus dan berakauntabiliti.
Menariknya, kerangka strategi tersebut diinspirasikan daripada lima Rukun Islam yang diterjemahkan ke dalam budaya kerja organisasi.
Menurut beliau, gabungan strategi korporat progresif dan sistem nilai yang kukuh menjadi asas penting dalam membina organisasi yang mampu bertahan merentas generasi.
“Pertumbuhan perlu disokong prinsip yang jelas dan diterjemahkan melalui strategi yang tersusun. Inilah keseimbangan yang memastikan kelangsungan jangka panjang,” katanya.
Selain pelancaran strategi, majlis tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan bersama warga kerja dan pemegang taruh serta menyantuni anak yatim dan pelajar tahfiz melalui sumbangan kepada institusi kebajikan.
Dengan pelaksanaan pelan baharu itu, VFive menyasarkan untuk muncul sebagai organisasi yang bukan sahaja mencatat kejayaan komersial, malah menyumbang secara konsisten kepada pembangunan industri dan kesejahteraan masyarakat.