Anak saudara jadi penghibur setia pak ngah terlantar sejak 2016

Iklan
Gelagat Aleesa Nur Keisha yang dirakam ibunya.

ISKANDAR PUTERI – Gelak tawa seorang anak saudara menjadi pengubat rindu buat pemuda yang terlantar sejak hampir sedekad lalu, apabila kehadirannya saban hari menjadi sumber kekuatan untuk terus menjalani kehidupan.

Gelagat Aleesa Nur Keisha Mohamad Khalid, 6, menarik perhatian umum selepas videonya tular, menunjukkan kanak-kanak itu sentiasa menghiburkan pak ngahnya.

Iklan
Iklan

Ibu Aleesa, Fatin Nur Shahira Mahat, 32, berkata adiknya, Muhammad Nur Aliff bin Mahat, 28, mengalami kemalangan serius pada 2016 ketika berumur 19 tahun yang menyebabkan kecederaan di kepala dan badan, sekali gus membuatkannya terlantar sepenuhnya.

“Sejak kejadian itu, adik saya hanya bergantung sepenuhnya kepada keluarga. Saya berhenti kerja tiga tahun lalu untuk menjaganya selepas arwah ibu dan ayah meninggal dunia.

Iklan

"Sebelum itu, arwah ayah yang menjaganya. Dia merupakan satu-satunya adik saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Fatin Nur Shahira menjelaskan, ketika kejadian, adiknya dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal apabila dilanggar sebuah kenderaan lain.

Iklan

Akibat kemalangan itu, adiknya koma kira-kira dua minggu dan lumpuh sepenuhnya, hanya mampu menggerakkan kepala manakala untuk makan dan buang air, dia bergantung sepenuhnya kepada tube perubatan.

Kehadiran Aleesa setiap hari memberi keceriaan kepada pak ngahnya kerana kanak-kanak itu sering berbual, menyanyi, menonton televisyen dan bermain bersamanya.

Menurut ibu Aleesa, walaupun pak ngahnya tidak boleh bergerak badan, responnya yang tersenyum atau ketawa menunjukkan dia gembira dengan perhatian anak saudara itu.

“Momen kecil seperti gelak tawa dan sentuhan kasih sayang Aleesa memberi kekuatan emosi yang sukar digambarkan, terutama bagi adik saya yang sudah lama terlantar,” katanya.

Fatin berkata, pengalaman menjaga adiknya bukan sahaja menekankan kepentingan sokongan emosi dalam pemulihan, tetapi juga menjadi bukti bahawa kasih sayang dan hubungan kekeluargaan mampu menjadi ‘ubat’ paling bermakna walaupun tanpa bantuan luar biasa.