YANG dihormati kapten industri. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konsep keseimbangan kerja-hidup sering dibincangkan di tempat kerja. Ia dibangkitkan dengan niat yang baik, dipertahankan dengan penuh semangat, namun pelaksanaannya sering tidak konsisten.
Sebagai pemimpin, kita perlu berhenti sejenak dan bertanya soalan yang lebih mendalam. Adakah kita benar-benar memahami tujuan asal konsep ini atau adakah tafsiran yang cetek telah membentuk tingkah laku, jangkaan dan prestasi dalam organisasi kita tanpa kita sedari?
Sudah tiba masanya untuk kita menilai semula cara berfikir. Kita perlu beralih daripada keseimbangan kerja-hidup kepada integrasi kerja-hidup, dan seterusnya menuju aspirasi lebih tinggi iaitu penguasaan kerja-hidup.
Istilah-istilah itu bukan sekadar permainan bahasa. Ia membentuk kerangka pemikiran. Kerangka pemikiran ialah cara dalaman kita mentafsir dunia, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Jika kerangka itu lemah atau tersasar, tingkah laku turut terjejas. Namun apabila ia jelas dan matang, prestasi individu serta organisasi akan meningkat.
Hari ini keseimbangan kerja-hidup sering disalah tafsir. Ia dilihat seolah-olah kerja dan kehidupan peribadi ialah dua perkara saling bertentangan serta berebut masa dan perhatian, sedangkan itu bukan tujuan asalnya.
Secara tepat, keseimbangan kerja-hidup merujuk kepada keupayaan seseorang memenuhi tanggungjawab kerja tanpa mengabaikan masa, tenaga dan ruang mental untuk keluarga, kesihatan, rehat, pembelajaran serta komuniti.
Ia bukan tentang bekerja kurang. Ia tentang bekerja secara lestari supaya kehidupan peribadi tidak terpinggir. Ia bukan soal kiraan jam semata-mata tetapi tentang kelangsungan, maruah dan kesejahteraan jangka panjang yang turut merangkumi kerja produktif.
Sejarahnya boleh ditelusuri sejak Revolusi Perindustrian apabila pekerja kilang berdepan waktu kerja yang panjang dan keadaan tidak selamat. Seruan seperti ‘lapan jam bekerja, lapan jam berehat dan lapan jam untuk kehidupan’ muncul sebagai tuntutan hak asasi.
Pada penghujung abad ke-20, kemunculan pekerjaan profesional, keluarga dua pendapatan dan teknologi digital pula mengaburkan sempadan antara kerja serta kehidupan peribadi. Maka, keseimbangan kerja-hidup menjadi isu penting, sama ada untuk individu mahupun organisasi, bagi mengelak pencapaian jangka pendek yang mengorbankan kesejahteraan jangka panjang.
Namun, apa yang tidak dimaksudkan oleh konsep ini juga perlu diperjelaskan. Ia bukan anti-kerja. Ia bukan formula tetap yang sama untuk semua orang. Ia bukan alasan untuk kurang komitmen atau menolak kecemerlangan. Ia tidak melihat kerja sebagai beban yang perlu dielakkan demi menikmati kehidupan.
Realitinya, kita sering mendengar kenyataan seperti ‘saya bekerja dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang sahaja, di luar waktu itu, jangan ganggu’. Pada masa sama, urusan peribadi diselesaikan ketika waktu pejabat, media sosial dilayari tanpa segan dan tumpuan mudah terganggu.
Keseimbangan
Jika keseimbangan digunakan secara terpilih, itu bukan keseimbangan tetapi ketidakseimbangan. Keseimbangan yang sebenar menuntut rasa hormat terhadap masa dan tanggungjawab daripada kedua-dua arah.
Atas sebab inilah, ramai pemikir dan pengamal beralih kepada konsep integrasi kerja-hidup atau keharmonian kerja-hidup. Intinya jelas - manusia tidak sepatutnya memisahkan diri kepada petak-petak yang terpisah. Kita hidup sebagai satu kesatuan, di mana kerja, nilai, usaha, rehat dan makna saling berkait.
Dalam kerangka itu, kita tidak menuntut hak sebelum menyumbang. Kita tidak melindungi masa dengan mengorbankan hasil. Pada masa sama, organisasi juga tidak boleh memusnahkan kesejahteraan pekerja atas nama prestasi.
Integrasi mengembalikan kematangan dan tanggungjawab ke tempat kerja. Nilai tidak berhenti selepas waktu pejabat dan tanggungjawab tidak terhenti hanya kerana jam telah berganjak.
Namun, sebagai kapten industri, integrasi kerja-kehidupan sepatutnya menjadi standard minimum yang kita harapkan daripada warga kerja kita, bukan matlamat akhir. Cita-cita kita mesti lebih mendalam dan lebih jauh.
Jika kita serius dalam membina kumpulan bakat berprestasi tinggi dan pengganti yang berwibawa, kita perlu mengangkat aspirasi lebih tinggi. Aspirasi tersebut ialah penguasaan kerja-kehidupan.
Golongan berprestasi tinggi, sama ada dalam pengurusan tertinggi, kepakaran teknikal, penyelidikan atau bidang profesional lain, memahami bahawa kejayaan menuntut tempoh pembelajaran panjang, toleransi tekanan yang tinggi dan usaha berterusan.
Keputusan tidak berhenti di pejabat. Masalah tidak ‘tamat waktu’. Tanggungjawab kadangkala merentasi hujung minggu dan waktu rehat. Mereka tidak melihatnya sebagai penindasan tetapi sebagai harga yang perlu dibayar untuk mencapai makna dan kepentingan dalam kehidupan.
Matlamat mereka bukan kehidupan tanpa tekanan tetapi kehidupan bermakna yang mampu menanggung tekanan tanpa runtuh. Mereka belajar mengurus tekanan, memberi tumpuan mendalam, berfikir dalam kerumitan dan bertahan dalam ketidakpastian. Mereka melatih disiplin mental dan emosi secara sedar.
Individu sebegini sering menggunakan masa dengan lebih terarah. Mereka membaca ketika orang lain berehat tanpa tujuan, berlatih ketika orang lain leka dan merenung ketika orang lain memutuskan hubungan dengan tanggungjawab. Usaha mereka tidak berselerak tetapi tertumpu pada perkara yang benar-benar penting.
Ironinya, mereka tidak mendefinisikan diri semata-mata melalui kerja. Mereka berpegang kepada nilai, keluarga, kepercayaan, khidmat kepada masyarakat dan kesihatan fizikal serta mental sebagai asas kestabilan. Tanpa asas tersebut, tekanan menjadi keletihan melampau. Dengan asas itu, tekanan menjadi usaha yang bermakna.
Mereka mungkin berkata dengan yakin, ‘saya bekerja lebih keras daripada kebanyakan orang tetapi saya juga pulih dengan lebih baik. Saya memikul tekanan tetapi saya tidak dikuasainya. Saya menyatukan kerja, kehidupan, pembelajaran dan makna dalam satu kehidupan yang utuh. Saya tidak sekadar mencari keseimbangan. Saya mengejar penguasaan’.
Para kapten, perubahan cara berfikir amat penting. Kerangka pemikiran yang kita promosikan akan membentuk budaya yang kita toleransi dan bakat yang kita lahirkan.
Peralihan daripada keseimbangan kepada integrasi dan seterusnya kepada penguasaan bukanlah untuk menuntut lebih tanpa empati tetapi bagi memupuk kematangan, tanggungjawab serta tujuan yang jelas dalam organisasi kita.
Inilah tugas kepimpinan dan ia bermula dengan menetapkan kerangka pemikiran yang betul.
*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, sebuah firma pembangunan insan dan organisasi. Beliau menulis mengenai kepimpinan, pengurusan dan keberkesanan tempat kerja