SHAH ALAM - Pas tidak akan bersikap diktator dan gopoh dalam menentukan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu kini mahu memberi fokus kepada isu rakyat sebelum persidangan Parlimen ditanguhkan minggu depan.
"Parlimen tinggal dua hari lagi dan tak perlu kita gopoh. Kena ambil masa, tambahan pula dalam dua tiga hari ini banyak masalah rakyat, masalah kedaulatan negara dan perjanjian (antarabangsa).
"Ahli Parlimen kita sedang sibuk bincang masalah-masalah ini. Jadi tak sempatlah, cepat sangat, bagi peluang selesaikan masalah rakyat dahulu," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Dalam pada itu Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengakui ada mencadangkan supaya jawatan Ketua Pembangkang diberikan kepada Pas.
Malah menurutnya, cadangan itu telah disuarakan kepada pimpinan Bersatu pada mesyuarat luar biasa yang diadakan baru-baru ini.
"Memang ada minat (untuk Pas menggalas tugas Ketua Pembangkang) ada belaka. Memang orang Pas minat, tapi mesti ambil kira dari segi perhitungan politik," ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, Pas tidak akan membuat keputusan secara bersendirian sebaliknya melalui mesyuarat membabitkan pimpinan parti lain dalam gabungan itu.
"Setakat ini Datuk Seri Hamzah Zainudin masih Ketua Pembangkang, tetapi penyusunan semula pelantikan itu akan dibincang kemudian," katanya.